PENYANYI, Nubhan mendedahkan keputusan untuk berpisah sudah difikirkan dalam tempoh panjang selepas beberapa siri menyelamatkan perkahwinannya dengan isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek,36, menemui jalan gagal.
Menurut Nubhan atau nama lengkapnya Ahmad Nubhan Ahamad,39, dia juga turut pernah berbincang dengan keluarga mentua berkenaan konflik rumah tangganya bagi mendapatkan nasihat.
“Berat sebenarnya untuk saya lalui, tapi bukan semua orang mahukannya. Saya sudah lama fikirkan perkara ini. Bila dia (isteri) dakwa tidak tahu punca diceraikan, saya rasa tak mungkin.
“Saya pernah berbincang dengan isteri, malah berjumpa dengan bapa mentua berkongsi masalah yang kami hadapi bagi mendapatkan nasihat.
“Malah, saya pernah bertemu dengan ibu saudara disebelah keluarga isteri. Bukan sekali atau dua kali pertemuan itu berlaku.
“Saya juga bawa dia jumpa pakar hal rumah tangga. Jadi bila dia kata tak tahu punca ingin diceraikan, saya rasa itu tidak wajar.
“Saya tak naklah cakap berlebihan, takut tersalah cakap atau perkara tak baik yang keluar. Kami sudah hidup bersama selama 10 tahun, biarlah saya simpan rapat,” katanya kepada URTV.
Nubhan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pengumuman barisan peserta Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) di ibu negara, malam tadi.
Pada masa sama, Nubhan tidak menafikan jika tiga orang cahaya mata antara faktor utama mereka terus mempertahankan rumah tangga selama 10 tahun.
“Kami hidup bersama 10 tahun. Kami juga cuba perbaiki, pertahankan perkahwinan. Saya tak boleh cakap atau komen apa yang terbaik untuk kami.
“Saya fikir anak, begitu juga dia fikirkan tentang anak-anak. Itulah juga sebab kenapa kami tahan sampai 10 tahun. Kami berusaha jumpa dengan orang yang arif. Itu pun salah satu cara kami cuba perbaiki balik hubungan.
“Segala apa yang berlaku dan lalui, biarlah kami saja yang tahu. Saya bersyukur apa yang dilalui sepanjang 10 tahun.
“Selama jadi suami dan bapa, tak pernah saya culas jalankan tanggungjawab ataupun kasih sayang. Tapi, mungkin takdir dah tertulis sampai disini saja hubungan kami,” luahnya.
Terdahulu, Nubhan hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada 16 Oktober lalu bagi prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya.
Hakim kemudian menetapkan tarikh 2 Disember depan untuk perbicaraan pertama bagi kes pengesahan lafaz cerai mereka.
Dalam perkembangan berkaitan Nubhan menjadi antara penyanyi yang terpilih menyertai GV12. Turut sama bertanding ialah Datuk Elaine Kang, Rahmat Ekamatra, Korie, Krisya, Mell Sakura, Mark Adam, SHY8 serta duo pop Freshies (Ejie dan Shima), Shae, Ruri Repvblik, trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) dan Iskandar Ismail (Singapura).

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

