PELAKSANAAN Program PATUH yang dilancarkan di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) PLUS Seremban Arah Selatan hari ini adalah bertujuan untuk memperkukuh budaya pematuhan dalam kalangan entiti perniagaan di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, KPDN berhasrat memastikan setiap pemain industri beroperasi mengikut undang-undang, standard, dan garis panduan yang telah ditetapkan.
Selain itu, katanya, program PATUH berperanan sebagai payung besar yang menaungi pelbagai inisiatif utama KPDN ke arah membentuk persekitaran perniagaan yang tersusun, beretika serta memberi perlindungan optimum kepada pengguna.
Menurut Fuziah, pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap sistem perdagangan domestik, malah penekanan terhadap kawalan kendiri dalam kalangan peniaga terhadap undang-undang perdagangan dapat dicapai secara menyeluruh dan berterusan.
“Bagi tahun pertama pelaksanaan, dua inisiatif utama diperkenalkan sebagai projek perintis iaitu Zon Persinggahan PATUH (ZPP) dan Pasar PATUH.
“Pertama, Pelaksanaan Zon Persinggahan PATUH melibatkan 20 Kawasan Rehat dan Rawat PLUS di Negeri Sembilan, Selangor dan Perak sebagai fasa awal sebelum diperluas ke lebuh raya lain di seluruh negara.
“Pemilihan R&R dibuat kerana lokasinya merupakan tumpuan pengguna lebuh raya dan sesuai dijadikan platform pendidikan pengguna serta model amalan perniagaan berintegriti dan patuh undang-undang.
“Manakala kedua ialah pelaksanaan Pasar PATUH bagi memperkukuh pematuhan dalam kalangan peniaga pasar awam dengan menekankan penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang yang tepat sertapersekitaran perniagaan yang bersih dan teratur,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, Pelaksanaan rintis Pasar PATUH dimulakan di satu pasar awam di setiap negeri sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.
Katanya, pelaksanaan program PATUH turut mencerminkan semangat kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi.
“Ia bukan sahaja memperkukuh keberkesanan penguatkuasaan, malah mencerminkan kesepaduan antara agensi dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus perdagangan dalam negeri.
“Antara rakan strategik utama yang terlibat ialah PLUS Malaysia Berhad, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

