Lebih sejuta ahli KWSP buat caruman sukarela, libatkan nilai RM14.13 bilion

Dari Penulis

SERAMAI 1.12 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah membuat caruman secara sukarela melibatkan nilai RM14.13 bilion setakat Ogos tahun ini.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, dalam tempoh sama juga seramai 227,000 ahli KWSP telah mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja.

Katanya, dalam usaha membantu ahli membina simpanan persaraan, KWSP telah menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan ahli mencarum ke KWSP.

“Bagi ahli yang bekerja dan mempunyai majikan, mereka boleh memilih untuk mencarum melebihi kadar caruman berkanun syer pekerja iaitu 11 peratus pada bila-bila masa.

“Selain itu, mereka juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa melalui Caruman Sukarela bagi menambah simpanan, tertakluk kepada had caruman tahunan sebanyak RM100,000 setahun yang berkuat kuasa bermula 1 Jun 2023,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

MoF menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bebas-Bukit Gantang) mengenai perancangan kerajaan menggalakkan warganegara Malaysia membuka akaun KWSP.

Kementerian itu menambah, pelbagai langkah dan inisiatif telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia yang mempunyai akaun KWSP untuk mencukupkan simpanan persaraan mereka.

158,000 suami sertai i-Sayang

Usaha-usaha ini katanya, merangkumi insentif caruman padanan oleh kerajaan, perluasan skim caruman sukarela kepada golongan bekerja sendiri dan tidak formal, serta langkah-langkah memperkukuh kesedaran awam mengenai kepentingan simpanan hari tua.

“Kerajaan dalam Belanjawan 2025 telah menambah baik program i-Saraan dengan menaikkan insentif padanan daripada 15 peratus kepada 20 peratus, tertakluk kepada maksimum RM500 setahun dan had seumur hidup sebanyak RM5,000 bagi setiap individu.

“Penambahbaikan ini, yang telah berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025, telah memberi manfaat kepada peserta i-Saraan sedia ada dan baharu.

“Pada separuh tahun pertama 2025, i-Saraan merekodkan jumlah caruman sebanyak RM2.8 bilion daripada 487,375 ahli.

“Ini adalah peningkatan sebanyak 74 peratus daripada RM1.6 bilion, serta peningkatan 48 peratus dalam bilangan ahli daripada 330,196 pada separuh tahun pertama 2024,” katanya.

Di samping itu jelas MoF, sebagai penghargaan terhadap sumbangan suri rumah kepada pembangunan keluarga dan negara, kadar insentif padanan kerajaan bagi program i-Suri sebanyak 50 peratus daripada jumlah caruman tahunan telah dilanjutkan pada tahun ini.

Katanya, ia adalah tertakluk kepada had maksimum insentif padanan kerajaan sebanyak RM300 setahun dan RM3,000 untuk seumur hidup kepada suri rumah di bawah umur 55 tahun yang berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih. 

“Program i-Sayang pula membolehkan suami memperuntukkan dua peratus daripada caruman KWSP bulanan (syer pekerja) secara sukarela ke akaun KWSP isteri mereka.

“Sejak program ini dilancarkan pada Mac 2023, seramai 158,000 suami telah menyertai program i-Sayang yang melibatkan jumlah pindahan caruman sebanyak RM309.4 juta setakat Ogos 2025,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Anwar mohon maaf tak dapat hadir majlis penghormatan terakhir Ayatollah Ali Khamenei

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Allahyarham...

More Articles Like This