Projek mega: Kerajaan sentiasa teliti, semak semula keutamaan

Dari Penulis

KERAJAAN sentiasa meneliti dan menyemak semula keutamaan serta pelaksanaan projek pembangunan termasuk projek mega selain pelaburan berimpak tinggi.

Menurut Kementerian Ekonomi, ia dilakukan agar sejajar dengan pertumbuhan ekonomi semasa serta keperluan fiskal negara.

“Dalam konteks ini, Kementerian Ekonomi telah membuat pertimbangan sewajarnya di mana perakuan adalah berdasarkan keutamaan projek pembangunan kementerian dan agensi.

“Selain itu, pelaksanaan projek di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) Tahun 2026 adalah selari dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13),” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Kementerian itu menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sama ada kerajaan bercadang menyemak semula keutamaan projek mega dan keperluan untuk memastikan pulangan ekonomi yang tinggi serta kecekapan fiskal.

Kementerian Ekonomi memberitahu, pelaksanaan dasar yang ditetapkan bertujuan untuk memastikan projek yang dilaksanakan memberi pulangan ekonomi dan sosial yang tinggi.

Ini jelasnya, termasuk peningkatan produktiviti, peluang pekerjaan serta kesan limpahan kepada rakyat dan sektor swasta.

Malah katanya, ia selaras dengan keutamaan nasional, khususnya agenda pendigitalan, kelestarian, sekuriti makanan serta kesejahteraan rakyat.

Di samping itu jelasnya, ia perlu menepati kemampuan fiskal kerajaan dengan memberi keutamaan kepada projek yang boleh disiapkan dalam masa yang telah ditetapkan dan mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi.

Setiap ringgit beri manfaat maksimum

Katanya, antara projek mega yang bertujuan untuk meningkatkan ketersambungan dan merangsang ekonomi tempatan adalah seperti Pembinaan ECRL yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung dengan kos keseluruhan sebanyak RM74.9 bilion.

Projek-projek lain katanya, adalah Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak dengan kos keseluruhan RM21.9 bilion serta Central Spine Road (CSR) di Pahang dan Kelantan dengan kos keseluruhan sebanyak RM6.4 bilion.

Selain itu, terdapat beberapa projek baharu di bawah RP1 2026 yang diluluskan antaranya projek Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) dan Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP).

Projek lain, Perolehan Peralatan Perubatan dan Bukan Perubatan bagi Fasiliti Kementerian Kesihatan; Dana Latihan TVET RMK13; Program Pemerkasaan Agromakanan Negara; dan Dana Keterjaminan Agromakanan (DKA).

“Kerajaan juga akan terus memperkukuh pendekatan Value for Money dan Outcome-Based dalam pelaksanaan projek bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan dapat memberi manfaat maksimum kepada ekonomi negara. 

“Secara keseluruhannya, semakan keutamaan projek mega dan pelaburan berimpak tinggi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mengekalkan disiplin fiskal.

“Ia termasuk meningkatkan kecekapan pelaksanaan dan memastikan pembangunan negara yang seimbang, mampan dan inklusif,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli MRSM: Empat disingkirkan, dua lagi digantung

EMPAT disingkirkan manakala dua lagi pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor digantung persekolahan selepas terbabit kes buli. Perkara...

More Articles Like This