KOS penganjuran keseluruhan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan pada 26 hingga 28 Oktober lalu dianggarkan berjumlah RM184.4 juta.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, kos penganjuran sidang-sidang kemuncak itu adalah selaras dengan kelulusan dan mengikut ketetapan anggaran perbelanjaan yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan.
Menurut beliau, segala perbelanjaan dilakukan adalah mengikut tatacara kelola kewangan semasa yang berkuat kuasa dengan langkah-langkah penjimatan yang optimum.
Dari segi logistik, Mohamad berkata, persiapan untuk melaksanakan Sidang Kemuncak ASEAN itu telah pun bermula sejak awal tahun ini.
“Antara elemen utama yang dititikberatkan adalah aturan protokol, pengurusan keselamatan dan kesejahteraan awam di lokasi persidangan serta hotel-hotel penginapan.
“Elemen ini diberi penekanan khusus bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan teratur dan memastikan keselamatan serta keselesaan ketua-ketua negara dan kerajaan bersama delegasi terjamin semasa berada di Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (PH-Kepong) berhubung kes penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada 26 hingga 28 Oktober 2025 serta langkah koordinasi keselamatan untuk menjamin keselamatan semua peserta.
Baca artikel lain: Trump kagum aspek keselamatan Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN – Anwar
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, aspek keselamatan dan kelancaran pergerakan delegasi telah diselaraskan Kementerian Luar bersama pelbagai kementerian dan agensi.
Selain itu, beliau memaklumkan, Kementerian Luar juga telah bekerjasama rapat dengan kedutaan-kedutaan negara yang terlibat di Kuala Lumpur.
Katanya, ia bagi mengenal pasti serta menyelaras keperluan logistik ketua-ketua negara dan kerajaan serta delegasi masing-masing.
“Ini termasuk penyelarasan keperluan yang melibatkan prosedur operasi standard (SOP), keselamatan dan protokol yang berbeza antara setiap negara yang terlibat.
“Secara keseluruhan, pelaksanaan sidang kemuncak ini telah berjalan dengan lancar hasil daripada persiapan rapi, penyelarasan yang mantap serta komitmen padu oleh semua kementerian dan agensi yang terlibat.
“Penganjuran yang tersusun ini turut menerima pujian daripada negara-negara serantau dan komuniti antarabangsa, mencerminkan tahap kesiapsiagaan Malaysia dalam menganjurkan sidang kemuncak terbesar ini.
“Kementerian yakin kejayaan ini akan terus mengangkat profil serta martabat negara di persada antarabangsa,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

