ISU pemberian royalti Petroleum kepada negeri Terengganu yang telah berlarutan sejak tahun 2022 disifatkan sebagai episod hitam yang mencalar hak rakyat negeri berkenaan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendakwa berlaku perubahan dalam kaedah penyaluran royalti kepada Terengganu selepas pilihan raya kecil (PRK) pada November 2022.
Beliau berkata, kerajaan negeri hanya dibenarkan mengurus sekitar 50 peratus daripada keseluruhan jumlah bagi tempoh 2023 hingga 2025.
Ahmad Samsuri berkata, situasi itu tidak mengikut amalan asal pembayaran royalti iaitu dua kali setahun seperti yang telah dijanjikan.
“Episod ini tidak patut berlaku pada zaman moden, apabila kepentingan politik mengatasi keperluan melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat.
“Apabila hanya separuh sahaja royalti dapat diurus kerajaan negeri, ia menyukarkan kita membuat perancangan dan pelaksanaan pembangunan, apatah lagi melibatkan kepentingan rakyat Terengganu,” katanya.
Baca artikel lain: Hakisan pantai: Enam lokasi di Terengganu kategori kritikal
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook, hari ini, yang merujuk kepada ucapan penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu 2026.
Ahmad Samsuri menegaskan, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa berjuang supaya keadaan itu dikembalikan kepada asal sebagaimana amalan sebelum 20 November 2022.
Sebelum ini, ketika sesi penggulungan Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga DUN Terengganu ke-15, beliau menyatakan Kerajaan Terengganu menerima sebanyak RM1.08 bilion royalti petroleum daripada kerajaan Persekutuan setakat 2 November lalu.
Jelasnya, jumlah itu bersamaan 66.44 peratus daripada anggaran keseluruhan RM1.63 bilion sepatutnya diterima bagi tahun ini.
Bagaimanapun, kata beliau, daripada jumlah itu hanya RM583juta (53 peratus) disalurkan terus ke akaun kerajaan negeri, manakala selebihnya RM497 juta (47 peratus) diuruskan oleh pihak lain di peringkat Persekutuan.
Untuk rekod, pada 2024 kerajaan negeri hanya menerima RM733.05 juta daripada keseluruhan royalti petroleum berjumlah RM1.5 bilion.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

