EXCO Kerajaan Negeri Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak diwajibkan untuk meletakkan jawatan.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, hal itu kerana kapasiti sebagai Exco Kerajaan Negeri tidak menjejaskan proses pendakwaan dan perbicaraan.
Tegas Ahmad Samsuri, seseorang tidak boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah.
“Saya mengambil maklum isu seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang kini berada di peringkat pendakwaan dan perbicaraan.
“Kerajaan Negeri komited menjaga integriti dan menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Semua pihak diminta tidak membuat spekulasi atau sebarang penilaian awal yang boleh menjejaskan proses keadilan,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga: Pelantikan Ahmad Samsuri langkah kompromi PN
Ahmad Samsuri menambah, beliau menyeru semua pihak agar bertenang dan memberi ruang kepada sistem perundangan menjalankan tugasnya secara profesional.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang Exco Terengganu kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) di negeri tersebut.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

