KEMENTERIAN Sumber Manusia (KESUMA) menafikan laporan atau kenyataan yang menggambarkan seolah-olah keputusan telah dimuktamadkan berhubung cadangan pelaksanaan sistem pengambilan pekerja asing secara digital.
Katanya, pihak kementerian mengambil maklum pelbagai laporan media dan perbincangan awam berhubung cadangan tersebut.
Namun begitu, jelasnya, terdapat pelbagai versi laporan dan tafsiran yang berbeza-beza sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam serta pihak industri.
“Sebarang laporan atau kenyataan yang menggambarkan seolah-olah keputusan telah dimuktamadkan adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak mencerminkan kedudukan sebenar kerajaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bangunkan platform digital berasas AI
Mengulas lanjut, KESUMA kini sedang menerokai keperluan untuk membangunkan platform digital berasaskan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) bagi menambah baik ekosistem pengambilan pekerja asing secara menyeluruh.
Katanya, pendekatan ini membolehkan pengambilan pekerja asing secara langsung oleh majikan berdasarkan keperluan sebenar tenaga kerja, merangkumi keseluruhan proses di negara sumber termasuk pendaftaran dan padanan pekerjaan.
Namun begitu, jelas KESUMA kos perekrutan akan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan memastikan tiada beban kewangan dikenakan kepada pekerja asing.
“Sejajar dengan saranan kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus pengurusan pekerja asing mengambil kira impaknya kepada ekonomi dan reputasi negara, KESUMA telah mengkaji keseluruhan ekosistem pekerja asing.
“KESUMA mendapati terdapat kelompongan dalam komponen perekrutan pekerja di negara sumber khususnya ikatan hutang yang ditanggung oleh pekerja asing (debt bondage),” katanya.
Perkukuh usaha Malaysia capai penarafan Tier 1
Menurut KESUMA, kesemua usaha tersebut selaras dengan prinsip pengambilan pekerja yang adil dan beretika diterapkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan berpotensi menangani isu pemerdagangan orang serta buruh paksa.
Pada masa sama, katanya lagi, ia juga memperkukuhkan usaha Malaysia mencapai penarafan Tier 1 dalam United States Trafficking in Persons Report.
Bagaimanapun, katanya, cadangan hanya tertumpu kepada proses perekrutan pekerja asing di negara sumber sahaja iaitu di peringkat proses pasca-kelulusan kuota dan tidak menganggu apa-apa proses pra-perekrutan.
Jelasnya, ini termasuklah peranan agensi kawal selia, kelulusan kuota termasuk aktiviti penguatkuasaan kerajaan berlandaskan perundangan sedia ada.
“Pelaksanaan akan tertakluk sepenuhnya kepada kawalan KESUMA dari segi dasar dan pengoperasian dengan pengintegrasian bersama sistem-sistem sedia ada Kerajaan termasuk Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) dan National Integrated Immigration System (NIISe).
“Dari aspek pengurusan pekerja asing, penglibatan dan peranan agensi pekerjaan swasta di Malaysia kekal dan tidak terjejas kerana KESUMA melihat cadangan ini sebagai satu platform yang boleh digunakan oleh majikan sendiri atau melalui agensi pekerjaan swasta untuk menjalankan proses perekrutan,” tegasnya.
KESUMA teliti, perhalusi cadangan sesi libat urus bersama negara-negara sumber
Pada masa ini, KESUMA sedang meneliti cadangan melalui sesi libat urus awal bersama negara-negara sumber tenaga kerja dan industri, termasuk penyedia teknologi Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) yang digunakan bagi pengurusan pekerja asing ke Malaysia sejak tahun 2015.
Walau bagaimanapun, semua cadangan tersebut masih dalam peringkat penilaian dan belum diputuskan serta tiada sebarang komitmen, pelantikan atau perjanjian dibuat dengan mana-mana pihak setakat ini.
“Komitmen KESUMA untuk menambah baik aspek perekrutan telah meraih sokongan positif daripada beberapa negara sumber tenaga kerja utama seperti Bangladesh, Indonesia dan India dalam meningkatkan ketelusan dan kecekapan operasi serta mewujudkan kesinambungan ekosistem pekerja asing yang menyeluruh daripada proses pra sehingga pasca perekrutan.
“Manakala, persatuan industri utama termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM), Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) dan Malaysian Employers Federation (MEF), di mana kesemua mempunyai keahlian hampir sejuta anggota turut menyokong usaha kerajaan memodenkan sistem pengambilan pekerja asing melalui pendekatan digital dan berasaskan teknologi,” katanya.
Selain itu, katanya, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) mewakili lebih 13,300 syarikat pengilangan juga secara terbuka menyambut baik cadangan ini – mencerminkan keperluan industri terhadap sistem yang lebih telus, berdaya saing serta mampu mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah dan mengawal kos perekrutan.
KESUMA komited pastikan cadangan dilaksanakan secara telus
Pada masa sama, KESUMA kekal komited untuk memastikan bahawa sebarang cadangan dalam pengambilan pekerja asing akan dilaksanakan secara telus, berintegriti dan berasaskan kepentingan negara.
Katanya, pendekatan akan memberi keutamaan kepada keperluan industri serta kestabilan pasaran buruh tempatan, di samping memastikan aspek kebajikan dan perlindungan asas pekerja asing dipelihara selaras piawaian antarabangsa.
“Sebarang pelaksanaan kelak akan mematuhi semua tatakelola yang ditetapkan dan melalui proses pertimbangan serta persetujuan Kabinet selepas libat urus dengan penglibatan kementerian berkaitan, pihak industri dan negara sumber tenaga kerja, bagi memastikan sistem yang dibangunkan benar-benar seimbang, berkesan dan memenuhi keperluan serta kepentingan negara.
“Kerajaan melalui KESUMA kekal komited memperkukuh pembangunan bakat tempatan sebagai teras utama reformasi pasaran buruh negara, selaras dengan agenda jangka panjang untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

