MANIFESTO dilancarkan oleh Barisan Nasional (BN) Sabah tempoh hari adalah hasil kerja 100 peratus yang disusun khas untuk rakyat negeri itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fokus utamanya jelas iaitu untuk mengembalikan pembangunan yang tertinggal khususnya keperluan tiga serangkai jalan, api dan air.
“BN juga komited untuk memperkasa Mahkamah Anak Negeri, termasuk cadangan menjadikan kakitangannya sebagai kakitangan tetap kerajaan.
“Untuk melihat hala tuju sebenar masa depan Sabah yang kita perjuangkan, sila layari: prnsabah.com,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel lain: 30 kes penipuan pengambilan pembantu rumah tidak berlesen dilaporkan
Terdahulu, BN Sabah melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menawarkan enam teras utama bagi memacu pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, RPS1 dirangka secara komprehensif merangkumi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara, serta Pendidikan Berkualiti Untuk Semua.
Beliau berkata RPS1 turut menekankan agenda Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan serta Kelestarian Sumber Alam.
“RPS1 ini disusun rapi dan diperhalusi setelah mengambil kira keperluan seluruh rakyat Sabah. Politik bukan matlamat, tetapi adalah wadah untuk membangunkan Sabah,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

