JUMLAH kutipan duti eksais ke atas minuman bergula (SSB) untuk tempoh 1 Julai 2019 sehingga November tahun ini mencecah RM521.35 juta.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), kesemua hasil itu dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan mengikut Perkara 97 Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, selaras dengan komitmen kerajaan melalui Belanjawan 2025, sebahagian tambahan hasil daripada kenaikan duti eksais tersebut akan diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Ini untuk membiayai perbelanjaan berkaitan kesihatan awam khususnya penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibitors bagi rawatan diabetes.
“Malah ia juga bagi meningkatkan penyediaan rawatan Dialisis Peritoneal untuk pesakit buah pinggang tahap akhir,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
MoF menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai kutipan cukai minuman manis yang telah dikutip dan sejauh mana ia disalurkan kepada pembekalan ubat diabetes dan pelestarian Program Dialisis Peritoneal.
Kementerian itu memaklumkan, untuk tahun ini kerajaan telah menyalurkan sebanyak RM25 juta daripada kutipan duti eksais ke atas SSB kepada KKM bagi melaksanakan program advokasi War on Sugar.
Ia katanya, turut melibatkan pembelian ubat SGLT-2 untuk merawat pesakit Diabetes Mellitus dan menyediakan kemudahan Dialisis Peritoneal untuk merawat pesakit buah pinggang tahap akhir.
“Pengenaan duti eksais ke atas minuman bergula telah berkuat kuasa mulai 1 Julai 2019 pada kadar 40 sen seliter berdasarkan nilai ambang kandungan gula yang ditetapkan.
“Kadar duti eksais ini kemudiannya dinaikkan kepada 50 sen seliter mulai 1 Januari 2024 dan terkini kepada 90 sen seliter mulai 1 Januari 2025,” jelasnya.

