
SEJAK 13 November lalu, Malaysia telah pun mula memasuki fasa Monsun Timur Laut dan dijangka berterusan sehingga ke bulan Mac tahun hadapan.
Sepanjang waktu itu, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari dikatakan bakal berlaku sekali gus boleh mengakibatkan kejadian banjir.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku.
Dalam tempoh bulan November ini, Kelantan dan Terengganu dijangka menerima episod hujan lebat yang akan berterusan ke bulan Disember.
Kesan daripada episod hujan lebat itu telah pun dapat dirasai apabila beberapa daerah di kedua-dua negeri itu telah pun dinaiki air.
Bagaimanapun, bukan dua negeri itu sahaja telah mula dilanda bencana banjir.
Ketika artikel ini ditulis, tujuh negeri lain iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor turut diuji dengan bencana banjir.
Berdasarkan laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 5 petang semalam iaitu Isnin 24 November, seramai 13,322 mangsa daripada 4,713 keluarga telah pun dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Secara keseluruhan, sebanyak 91 PPS telah dibuka di kesemua tujuh buah negeri tersebut.
Kelantan terus merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 9,652 orang di empat buah daerah iaitu Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Ia diikuti seramai 1,691 mangsa daripada 532 keluarga yang mendapat perlindungan di 20 PPS di Perak.
Jumlah mangsa banjir di negeri-negeri lain iaitu Perlis, Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu turut semakin meningkat.
Baca artikel lain: Hampir 13,000 mangsa terjejas akibat banjir di tujuh negeri
Malah, data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada hari Ahad lalu memaparkan bahawa paras air di beberapa sungai utama di Perlis, Sarawak dan Selangor telah melepasi tahap bahaya dan amaran.
Keadaan itu cukup membimbangkan ditambah pula dengan isu perubahan iklim yang semakin menghimpit sekali gus membuatkan keadaan agak berbahaya.
Justeru, perlu diingatkan bahawa musim hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir bukanlah ‘pesta air’ dan waktu untuk bersuka ria.
Sebaliknya, semua pihak terutama ibu bapa perlu mengambil langkah berhati-hati dan lebih berwaspada dengan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga.
Ibu bapa juga perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku apatah lagi bahaya berada di mana-mana.
Penduduk yang terjejas dengan banjir juga diingatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa terutama melibatkan pemindahan ke PPS.
Bahkan tuntutan memelihara diri daripada bahaya dan kemudaratan juga menjadi kewajipan dalam Islam.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.”
Sudah terang lagi bersuluh, Allah menekankan supaya manusia sentiasa menjaga keselamatan dan kehormatan diri.
Memanglah kata pepatah ‘malang tidak berbau’ tetapi bau sudah dapat dihidu jika sengaja mencari ‘nahas’.
Semoga semua yang terjejas dengan episod banjir kali ini diberi kesabaran dan ketabahan sekali gus dilindungi daripada bala bencana lebih besar.
Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

