POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan kegiatan sindiket penipuan dalam talian selepas menyerbu lapan call centre (pusat panggilan) dan menahan 57 individu dalam beberapa operasi berasingan di ibu negara baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi pada 10 hingga 14 November itu membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur melalui kerjasama di peringkat daerah dan kontinjen.
“Melalui operasi tersebut, kita berjaya menumpaskan lapan call centre dan menahan 57 individu, terdiri daripada lima orang warga tempatan dan 52 lagi warga asing.
“Mereka ini menyasarkan mangsa di dalam dan luar negara. Kesemua tangkapan dilakukan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur melibatkan kediaman yang dijadikan pusat operasi haram,” katanya dalam kenyataan.
Fadil memberitahu, hasil siasatan awal mendapati kesemua tangkapan merupakan pekerja sindiket dan terlibat dalam pelbagai modus operandi termasuk penipuan tawaran kerja dan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang menyasarkan warganegara asing sebagai mangsa.
Jelas beliau, kesemua tangkapan telah dituduh di mahkamah atas kesalahan Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan kerana bersubahat melakukan kegiatan penipuan dalam talian dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana melakukan kesalahan berkenaan dokumen perjalanan bagi warga asing.
Katanya, pihak Polis akan terus mempergiat operasi secara berterusan dalam memastikan sindiket penipuan dalam talian dapat dibanteras sepenuhnya.
“Orang ramai dinashatkan supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.

