JENAZAH Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas, Kota Kinabalu selepas solat Jumaat hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, penghormatan terakhir buat Allahyarham dilakukan antara pukul 8 hingga 9.30 pagi di kediamannya di Idang Residen, Luyang.
Jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk urusan mandi jenazah.
Solat jenazah akan dilaksanakan di masjid sama selepas selesai solat Jumaat nanti.
Selesai semua urusan tersebut, jenazah akan dibawa ke Tanah Perkuburan Kampung Likas untuk urusan pengebumian.
Bung Moktar disahkan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu pada pukul 1.46 pagi tadi.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital sejak pagi semalam.
Baca artikel lain: ‘Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat’, Zahid luluh pemergian Bung Moktar
Bung Moktar, 66, yang juga Pengerusi BN Sabah, dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan dari 1987 hingga 1991, beliau kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Luar Bandar MARA Sandakan dari 1991 hingga 1992, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.
Allahyarham turut pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).
Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada September 2020, Bung Moktar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah.
Pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini, beliau mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

