PENGURANGAN ambilan pelatih atau penuntut di peringkat Diploma Kejururawatan terutama semasa pandemik COVID-19 memberi kesan kepada keluaran graduan dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), ia sekali gus menyumbang kepada isu kekurangan tenaga kerja jururawat terutama di fasiliti baharu beroperasi dan fasiliti di kawasan populasi tinggi.
Pada 2021 jelasnya, ambilan pelatih Diploma Kejururawatan ILKKM hanya sekitar 153 orang yang mana secara tidak langsung menjejaskan keluaran graduan pada 2024.
“Selain itu pewujudan jawatan tambahan bagi pengoperasian fasiliti baharu atau dinaik taraf yang tidak selari dengan pengeluaran graduan kejururawatan secara tidak langsung meningkatkan jumlah kekosongan jururawat di KKM.
“Contohnya, dalam tempoh dari 2021 hingga 2024, sebanyak 12,925 jawatan tambahan jururawat diwujudkan di KKM.
“Namun dalam tempoh sama, pengeluaran graduan kejururawatan ILKKM hanya 4,220 atau 33 peratus daripada jawatan tambahan diwujudkan,” jelasnya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
KKM menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Musa mengenai unjuran keperluan jururawat di semua hospital, klinik dan kemudahan kesihatan Persekutuan menjelang 2030.
Lantikan tetap jururawat
Kementerian itu menambah, peningkatan keperluan sebenar jururawat di fasiliti kesihatan KKM tertentu yang lebih tinggi daripada nilai outfit dan norma asal diunjurkan kesan daripada faktor-faktor luar jangka (unforeseen factors) seperti kedatangan pesakit semasa waktu puncak dan semasa penularan wabak serta penyakit berjangkit.
Jelasnya, sehingga September lalu, seramai 69,494 jururawat sedang berkhidmat di KKM dengan kadar pengisian 83 peratus berbanding 84,286 perjawatan jururawat di KKM.
“Bagi memastikan pengisian jururawat di fasiliti kesihatan KKM meliputi hospital, klinik kesihatan dan institusi berada pada tahap yang optimum, KKM mengunjurkan kadar pengisian jawatan jururawat mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus daripada keseluruhan perjawatan diwujudkan di setiap fasiliti KKM,” katanya.
KKM memberitahu, antara inisiatif dilaksanakan untuk meningkatkan pengisian jururawat adalah dengan melantik tetap seramai 3,254 jururawat pada tahun ini serta menyasarkan pelantikan 935 graduan kejururawatan ILKKM ke jawatan Jururawat Gred U5 pada 2026 iaitu peningkatan sebanyak 53 peratus berbanding pelantikan 613 graduan kejururawatan ILKKM tahun ini.
KKM juga katanya, melaksanakan pengambilan 3,343 pelatih ILKKM di peringkat Diploma Kejururawatan tahun ini yang mana adalah lebih tinggi berbanding pengambilan 2,265 pelatih pada tahun lalu dan 1,667 pelatih pada 2023.

