“YANG penting adalah untuk berdoa kerana Insya-Allah, Allah akan bersama dengan orang yang betul.”
Itu kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelang prosiding rayuan akhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan bekas Menteri Belia dan Sukan itu berhubung empat tuduhan penyelewengan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta atas kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana tersebut.
Menurut Syed Saddiq, beliau menyerahkan sepenuhnya proses perundangan itu kepada mahkamah.
Pada masa sama, Syed Saddiq turut berharap semua pihak menghormati perjalanan prosiding.
Beliau juga menghormati hak pihak pendakwaan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini berpihak kepadanya.
“Saya menghormati institusi kehakiman negara yang daripada peringkat awal lagi saya yakin adalah penentu nasib saya yang terbaik. Bukan jalan politik, bukan jalan mudah.
“Lebih baik diadili menggunakan fakta dan hujah yang dibentangkan.
“Saya menghormati keputusan pihak pendakwa raya yang tetap memilih untuk merayu walaupun di peringkat Mahkamah Rayuan, saya menang 3-0, tetapi ia adalah hak mereka untuk merayu, saya juga rasa bersyukur kerana proses itu tidak dilewat-lewatkan,” katanya sebelum prosiding itu bermula.
Baca artikel lain: Bella Astillah, Syed Saddiq & PTTI satukan misi bantu pelajar SPM 2026 lebih yakin matematik
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, tahap penghormatannya terhadap institusi kehakiman sangat tinggi.
Justeru, beliau turut meminta mana-mana pihak tidak melakukan perkara negatif termasuk bersikap agresif.
“Saya tidak minta banyak sebab itu saya sudah beritahu kawan keluarga. Jangan nak protes, jangan nak maki, jangan caci hakim, tidak kira siapa pun,” katanya.
Pada 25 Jun lalu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta, berkait kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Armada.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu diputuskan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu.
Pada 22 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan 28 alasan rayuan bagi menyokong permohonan supaya Mahkamah Persekutuan membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Jun dan mengembalikan semula sabitan serta hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa 15 alasan berkaitan pertuduhan subahat pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan berkaitan salah guna harta di bawah Seksyen 403, dan empat lagi berhubung dua pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Ini adalah peluang terakhir pasukan pendakwaan selaku perayu bagi memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta.
Kesemua pertuduhan membabitkan satu kes subahat pecah amanah membabitkan dana RM1 juta, satu pertuduhan salah guna harta berjumlah RM120,000 dan dua pertuduhan pengubahan wang haram masing-masing melibatkan RM50,000.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

