Malam Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH 37) menjadi detik paling bermakna dalam perjalanan seni Ernie Zakri apabila penyanyi berbakat besar itu mencipta kejayaan luar biasa dengan merangkul dua anugerah utama iaitu Penyanyi Wanita Popular dan Bintang Paling Popular, anugerah tertinggi yang menjadi rebutan ramai artis tanah air.
Kemenangan berganda itu nyata di luar jangkaan Ernie sendiri. Mengakui tidak meletakkan sebarang harapan besar, Ernie menyifatkan detik namanya diumumkan sebagai pemenang sebagai satu kejutan yang amat menyentuh hati.
“Alhamdulillah, perasaan sangat-sangat happy dan sangat bersyukur. Saya bersyukur dengan kehadiran peminat-peminat yang mengundi dan yang sentiasa mendoakan kejayaan saya. Anugerah ini memang untuk peminat,” luah Ernie penuh emosi.

Dengan jumlah undian mencecah 124 juta, Ernie Zakri akhirnya dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular ABPBH 37, sekali gus membuktikan sokongan luar biasa dan kasih sayang padu daripada peminat setianya di Malaysia dan Indonesia.
Menurut Ernie, kejayaan tersebut bukan miliknya seorang, sebaliknya milik peminat yang tidak pernah berhenti menyokong sejak awal perjalanan kariernya.
“Saya sangat-sangat happy kerana setelah beberapa tahun kita bersama-sama berusaha, Alhamdulillah peminat saya dapat hadiahkan anugerah Penyanyi Wanita Popular dan juga Bintang Paling Popular. Saya takkan dapat pengiktirafan ini kalau peminat-peminat saya tidak mengundi. Jadi saya nak buat special shout out kepada Ernienators,” katanya.
Tambah Ernie, kemenangan itu akan menjadi antara pencapaian paling berharga sepanjang karier seninya.
“Alhamdulillah, ini adalah salah satu achievement yang saya akan kenang sampai bila-bila.”
Tahun 2025 sememangnya menjadi tahun gemilang buat Ernie Zakri. Selain kejayaan berterusan menerusi album Perjalanan, single hit “Masing Masing” turut mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima pensijilan 3x Platinum di Malaysia dan Indonesia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Ernie sebagai antara vokalis wanita paling berpengaruh di rantau ini.
Dengan vokal mantap, dedikasi tinggi serta personaliti yang dekat di hati peminat, kemenangan di ABPBH 37 dilihat menambah lagi kekuatan jenama seni Ernie dalam industri muzik tempatan.
Mengulas kejayaan tersebut, Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim, turut menyuarakan rasa bangga terhadap pencapaian artis naungan mereka itu.
“Kami di Universal Music Malaysia amat berbangga dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ernie Zakri atas kejayaan meraih anugerah Bintang Paling Popular dan Penyanyi Wanita Popular di ABPBH 37. Kemenangan berganda ini adalah pengiktirafan sewajarnya atas dedikasi, bakat vokal luar biasa serta hubungan erat beliau dengan peminat,” katanya.
Menurut Kim Lim lagi, pihak Universal Music Malaysia komited untuk terus mengembangkan karier Ernie ke peringkat serantau, khususnya di Asia Tenggara, susulan kejayaan lagu “Masing Masing” yang diterima baik di pasaran Nusantara.
“Kami melihat potensi besar untuk muzik Ernie menembusi pasaran baharu. Bakat beliau mempunyai potensi global dan kami tidak sabar untuk melihat Ernie terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa,” ujarnya.
Sebagai kesinambungan kejayaan di ABPBH 37, Ernie Zakri kini bersiap sedia untuk menutup tahun 2025 dengan persembahan istimewa menerusi ‘Nostalgia NYE Concert’ yang bakal berlangsung di Le Meridien Petaling Jaya pada 31 Disember ini.
Dalam masa sama, Ernie turut mencetuskan keterujaan apabila memberi bayangan bakal tampil dengan single Hari Raya baharu pada tahun hadapan, sekali gus membuatkan peminat tidak sabar menantikan projek terbaharu daripada penyanyi kesayangan ramai ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

