SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset mewah bernilai lebih RM2.2 juta susulan penggeledahan di sebuah kediaman di Pantai Timur dipercayai milik isteri kedua kepada seorang bekas pegawai tertinggi Tentera Darat (PTD).
Menurut sumber, penggeledahan yang dibuat pagi tadi telah menemukan dua buah bagasi yang dipercayai digunakan untuk menyimpan barangan tersebut.
“Hasil pemeriksaan menemukan 23 unit jam tangan jenama Rolex pelbagai model dengan anggaran nilai pasaran semasa berjumlah kira-kira RM2 juta,” katanya.
Tambahnya, SPRM turut menyita beberapa barangan kemas milik seorang individu yang dipercayai bersubahat dianggarkan bernilai kira-kira RM225,000.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Semalam sumber memberitahu, SPRM menyita emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) dan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta susulan siasatan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia.
Jelasnya, wang tunai yang disita itu meliputi nilai dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$), euro, pound, yen (Jepun) dan riyal (Arab Saudi).
Sitaan tersebut adalah hasil pemeriksaan SVR di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang yang dipercayai ditinggalkan untuk tujuan pembaikan.
Barang kemas yang disita adalah tiga unit jongkong emas 999 yang setiap satunya seberat satu kilogram di mana nilai semasanya adalah kira-kira RM1.8 juta.
Sumber memberitahu, turut disita sembilan keping emas yang setiap satunya seberat 100 gram yang nilai semasanya adalah lebih setengah juta ringgit di samping SVR yang dianggarkan bernilai kira-kira RM360,000 dan dipercayai dibeli secara tunai.

