KEMENTERIAN Luar sedang giat memberikan bantuan konsular sepenuhnya kepada keluarga pelakon, Nadia Kesuma yang disahkan telah meninggal dunia di Jeddah.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, bantuan konsular sepenuhnya daripada Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh bersama Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sedang diberikan bagi memastikan segala urusan berjalan lancar.
Pada masa sama, Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memberitahu, wakil daripada kedua-dua perwakilan diplomatik itu akan berada di lapangan.
Menurut Wisma Putra, ia bagi memantau perkembangan secara dekat serta memudah cara proses-proses selanjutnya.
“Kementerian Luar menegaskan bahawa keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa menjadi keutamaan.
“Walau bagaimanapun, memandangkan kes ini melibatkan privasi pihak keluarga, kementerian ini tidak akan mengulas lanjut mengenai butiran peribadi individu terlibat bagi menghormati sensitiviti semua pihak,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Mengulas lanjut, Wisma Putra memberitahu keberadaan Allahyarham Nadiah Kesuma dapat dikesan menerusi hasil usaha Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah melalui kerjasama erat dengan pihak berkuasa tempatan serta semakan rekod berkaitan.
“Kementerian ini menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah.
“Pada masa sama, kementerian ini turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kerajaan Arab Saudi atas segala bantuan dan kerjasama yang diberikan dalam mengendalikan urusan ini,” katanya.
Baca artikel lain: Dilaporkan hilang di Jeddah, pelakon Nadia Kesuma meninggal dunia
Suami umum berita sedih pemergian Nadia Kesuma
Terdahulu, berita duka mengenai Nadia Kesuma telah dikongsikan suaminya, Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menerusi hantaran di Facebook.
“Assalamualaikum, dengan perasaan amat sedih dan pilu, saya ingin memaklumkan pemergian isteri tercinta, Nadiah Kasumawati binti Abdul Karim, yang meninggal dunia dengan tenang di Jeddah, pada 15 Januari 2026, pukul 8.07 pagi,” tulisnya di hantaran tersebut.
Beliau juga mendoakan semoga Allah mengurniakan keampunan kepada isterinya itu.
“Aku akan sentiasa merindui dirimu. Aku bersyukur dapat mengiringimu ke destinasi terakhirmu. Aku mencintaimu dan insya-Allah kita akan bertemu kembali, mudah-mudahan di syurga. Ya Allah, sesungguhnya kami datang daripada-Mu dan kepada-Mu kami kembali,” katanya.
Sebelum ini, Nadia Kesuma dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lalu.
Nadia antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah bersama sebuah agensi pelancongan bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

