PELAKON Nadia Kesuma yang sebelum ini dilaporkan hilang sejurus selepas tiba di Jeddah, disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung.
Perkara itu dikongsi suaminya, Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menerusi hantaran di Facebook.
“Assalamualaikum, dengan perasaan amat sedih dan pilu, saya ingin memaklumkan pemergian isteri tercinta, Nadiah Kasumawati binti Abdul Karim, yang meninggal dunia dengan tenang di Jeddah, pada 15 Januari 2026, pukul 8.07 pagi,” tulisnya di hantaran tersebut.
Beliau juga mendoakan semoga Allah mengurniakan keampunan kepada isterinya itu.
“Aku akan sentiasa merindui dirimu. Aku bersyukur dapat mengiringimu ke destinasi terakhirmu. Aku mencintaimu dan insya-Allah kita akan bertemu kembali, mudah-mudahan di syurga. Ya Allah, sesungguhnya kami datang daripada-Mu dan kepada-Mu kami kembali,” katanya.
Dalam hantaran tersebut, beliau menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang isteri yang setia, penyayang, ikhlas dan sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi sepanjang kehidupan berumah tangga.
Terdahulu, Nadia Kesuma dilaporkan hilang tanpa dapat dikesan selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis lalu.
Nadia antara 21 peserta yang menyertai kumpulan umrah bersama sebuah agensi pelancongan bermula dari 14 hingga 28 Januari ini.

