POLIS merampas dadah jenis Methamphetamine seberat 843.33 kilogram serta pelbagai peralatan memproses barang terlarang itu melibatkan nilai RM37.3 juta yang berpotensi merosakkan seramai 8.4 juta orang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, turut dirampas bahan berbentuk ketulan simen mengandungi dadah disyaki MDMA seberat 618.24 kilogram serta cecair dan serbuk bahan kimia seberat 679.22 kilogram.
Menurut beliau, rampasan dilakukan hasil serbuan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sebuah stor penyimpanan dadah pada 16 Januari lalu di sekitar Ipoh.
“Hasil serbuan ke atas sebuah rumah banglo, polis menahan dua individu disyaki, dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah yang didalangi oleh sindiket antarabangsa.
“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Disember 2024 dan menggunakan warganegara asing sebagai koordinator, dengan menyewa kediaman elit sebagai lokasi strategik penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Hussein memberitahu, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
“JSJN turut mengesan seorang lelaki warganegara China dengan kerjasama agensi rakan luar negara, dipercayai mempunyai rekod kesalahan dadah di Hong Kong.
“Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan JSJN serta maklumat daripada orang awam. Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya.

