‘Anthropology Days’, acara Olimpik paling rasis dalam sejarah penganjurannya

Dari Penulis

Sukan Olimpik sering dipuja sebagai simbol perpaduan sejagat tanpa mengenal warna kulit atau asal-usul. Namun sejarah mencatatkan ia tidaklah seindah slogan tersebut.

Pada tahun 1904, di St. Louis, Amerika Syarikat, semangat kesukanan itu dikhianati apabila satu acara dianjurkan bukan untuk meraikan kemanusiaan, tetapi untuk merendahkan tahap mereka.

Dikenali sebagai Anthropology Days, ia menjadi noda paling memalukan dalam sejarah sukan Olimpik apabila manusia dipertandingkan bukan sebagai atlet, tetapi sebagai bahan eksperimen rasis semata-mata mahu menunjukkan warga kulit putih lebih unggul berbanding warga peribumi.

Sejak penghujung abad ke-19 hingga awal abad ke-20, pameran manusia merupakan salah satu hiburan popular di Barat. Manusia dijadikan bahan dalam sarkas, pertunjukan jelajah dan ekspo besar.

Penduduk peribumi dari seluruh dunia dipamerkan bersama budaya mereka yang dianggap aneh, tidak ubah seperti haiwan di zoo. Mereka dibawa dari Afrika, Asia Tenggara, Timur Tengah, Kepulauan Pasifik, benua Amerika dan pelbagai wilayah lain, lalu ditempatkan dalam perkampungan etnik rekaan. Mereka dilabel dengan istilah menghina seperti ‘primitif’ dan ‘pigmi’, satu cerminan sikap rasis yang berakar umbi pada zaman itu.

Amalan keji ini memuncak secara terang-terangan dalam Sukan Olimpik 1904 di St. Louis, Missouri, menerusi satu acara yang dikenali sebagai ‘Anthropology Days‘.

Dalam acara ini, penduduk peribumi dari pelbagai wilayah telah dipertandingkan dalam beberapa acara sukan khas. Tujuannya bukan untuk meraikan keupayaan mereka, tetapi untuk membuktikan kononnya bangsa kulit putih lebih hebat daripada golongan ini. Ia adalah eksperimen sosial yang bertopengkan kejohanan sukan.

Pada asalnya, Olimpik 1904 dirancang berlangsung di Chicago. Namun, bandar St. Louis membantah kerana tarikh tersebut bertembung dengan ekspo St. Louis World’s Fair (Purchase Centennial Exhibition). Penganjur ekspo bimbang sukan Olimpik di Chicago akan mengalihkan tumpuan pengunjung ke situ lalu merugikan ekspo mereka.

Untuk itu, mereka mendesak agar temasya sukan itu dipindahkan ke St. Louis. Jika tidak, mereka mengancam akan menganjurkan acara sukan yang lebih besar dan mengatasi Chicago.

Ketika itu, Olimpik moden masih di peringkat awal, hanya berusia lapan tahun selepas penganjuran pertama. Demi mengelakkan perpecahan yang boleh memusnahkan kesinambungan temasya ini, pengasas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa, Baron Pierre de Coubertin akhirnya akur dan menyerahkan penganjuran Olimpik kepada St. Louis. Namun, ia membawa akibat buruk.

St. Louis bukan sebuah bandar utama dan sukar diakses menyebabkan kebanyakan atlet elit Eropah tidak dapat hadir. Daripada 651 atlet yang bertanding, hanya 62 datang dari luar Amerika Utara, mewakili sekadar 12 negara.

Banyak acara langsung tiada peserta bukan Amerika. Coubertin sendiri tidak hadir menyaksikan temasya tersebut. Akhirnya, Olimpik tenggelam di sebalik kemeriahan World’s Fair. Temasya itu sekadar menjadi acara sampingan, kecuali satu – Anthropology Days, yang terus diingati atas sebab yang memalukan.

Dalang di sebalik Anthropology Days ialah James E. Sullivan, ketua penganjur Olimpik 1904 dan seorang yang percaya kepada ideologi ketuanan kulit putih.

Beliau melihat Olimpik sebagai peluang untuk membuktikan kepercayaannya. Sullivan memujuk ahli antropologi William John McGee, ketua Jabatan Antropologi World’s Fair, agar meminjamkan peserta daripada pameran etnik. Untuk itu, dia menjanjikan nama McGee akan melonjak naik dalam bidang antropologi.

Sekitar 100 lelaki peribumi dipaksa menyertai pelbagai acara seperti melontar bola besbol, lontar peluru, larian, lompat jauh angkat berat, memanjat tiang dan tarik tali.

Tanpa latihan dan tidak memahami peraturan sukan tersebut, prestasi mereka sudah boleh dijangka. Malah mereka yang hadir ke Anthropology Days itu tidak benar-benar memahami tujuan penyertaan dan sukan tersebut, atau langsung tidak peduli tentang keputusannya.

Dalam acara lontar peluru, enam peserta diminta melontar beban seberat 56 paun. Namun pada pusingan kedua, mereka enggan meneruskan. Pelari pecut pula tidak memahami konsep memecut menembusi garisan penamat, menyebabkan ramai yang berhenti sebelum tamat, menunggu peserta lain, lalu merangkak bersama-sama di bawah lintasan pita penamat.

Dalam acara tarik tali, peserta suku Arapaho hadir dengan pakaian tradisi terbaik mereka. Apabila diberitahu bahawa mereka perlu diseret melalui lumpur, mereka terus menarik diri. Malah acara seperti lontar lembing yang disangka akan dikuasai golongan peribumi juga mengecewakan. Kebanyakan peserta sukar mengendalikan lembing, sesuatu yang mengejutkan Sullivan dan McGee.

Perlu dinyatakan, peserta peribumi ini dibayar dengan sewajarnya. Ada antara mereka yang sudah lama terlibat dalam pelbagai pertunjukan di Eropah sehingga memiliki ejen sendiri. Namun, bayaran tidak mampu menutup penghinaan yang mereka terima.

Akhirnya, Anthropology Days dianggap gagal. Kehadiran penonton hambar. Data saintifik yang dijanjikan McGee tidak pernah terhasil. Malah peserta sendiri melihat pertandingan tersebut sebagai sesuatu yang mengarut.

Namun bagi Sullivan, kegagalan itu tetap dianggap satu kejayaan. Sullivan melihat kegagalan peserta peribumi sebagai bukti kedudukan kaum peribumi ini dianggap lebih rendah. Sullivan berpendapat kegagalan memecahkan rekod Olimpik lontar lembing sudah cukup untuk mengesahkan prasangkanya.

Temasya St. Louis sering dirujuk oleh sejarawan sebagai antara Olimpik paling buruk dalam sejarah. Bukan saja tidak teratur, ia jelas bersifat perkauman.

Sejak itu, ia tidak pernah lagi dianjurkan. Idea mempertandingkan manusia sebagai bahan eksperimen rasis akhirnya ditinggalkan begitu sahaja. Malah, Anthropology Days kemudian dianggap contoh awal bagaimana antropologi pernah disalahgunakan untuk menyokong ideologi rasis — sesuatu yang dikritik hebat pada dekad-dekad seterusnya.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa juga  tidak pernah mengiktiraf acara itu sebagai sebahagian acara rasmi Olimpik. Pada abad ke-20, penyertaan atlet bukan kulit putih semakin meningkat, sekali gus menafikan apa yang berlaku di St. Louis.

__

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Nonny Nadirah disuruh pakai seluar dalam terbalik, elak sihir

Bukan semua kisah cinta berakhir dengan kebahagiaan. Ada yang berakhir dengan tangisan. Ada yang berakhir dengan kekecewaan. Namun bagi penyanyi dan...

More Articles Like This