SEORANG pelakon lelaki terkenal dilaporkan ditahan polis selepas keputusan ujian saringan awal air kencing ke atasnya didapati positif dadah.
Menurut sumber, artis berusia lingkungan 40-an itu telah dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam semalam sebelum direman selama tiga hari bagi membantu siasatan, dan tempoh reman berkenaan dijadualkan tamat esok.
Difahamkan, penahanan tersebut dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan keputusan ujian saringan yang dijalankan terhadap suspek.
“Kertas siasatan dipercayai sudah dilengkapkan dan telah dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” kata sumber.
Sumber sama turut memaklumkan bahawa pelakon berkenaan berkemungkinan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama pelakon terbabit berdepan isu berkaitan dadah. Sebelum ini, Mahkamah Majistret Petaling Jaya pernah mensabitkannya bersalah atas kesalahan menggunakan dadah jenis THC.
Namun, pelakon itu terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan membenarkan hukuman denda sebanyak RM5,000 dikenakan ke atasnya.

