BARU-BARU ini kerajaan menyatakan komitmen untuk membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan bagi mengukuhkan dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun atau dua penggal penuh.
Ia susulan amanat tahun baharu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan Perdana Menteri yang memaklumkan mengenai komitmen berkenaan.
Ya apa yang diperkatakan Perdana Menteri itu cukup menarik sementelah ia seolah-olah menyamai sistem kepresidenan di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa lagi negara yang mengehadkan tempoh perjawatan terbabit.
Bagi saya ia praktikal, rancanglah, laksanakanlah apa jua pembangunan mahupun idea dalam tempoh dua penggal ini dengan sebaik-baiknya.
Apa guna mentadbir terlalu lama jika keadaan negara, keadaan rakyat cuma segitu sahaja.
Oleh yang demikian, tempoh 10 tahun yang ada itu, buatlah yang terbaik. Hadirkan bersama penasihat yang mantap bagi memastikan tempoh 10 tahun itu bermakna dan bermanfaat untuk rakyat.
Sudah pastinya tiada ruang untuk menyakau, itu paling penting bagi diterapkan kepada PM dua penggal.
Jika segitu pun masih berkesempatan untuk menyeleweng, menyakau, saya pun tidak tahu apa lagi kaedah dan perancangan untuk membersihkan negara daripada durjana sedemikian.
Kaedah sama juga boleh diterapkan kepada sektor swasta.
Jujur bagi saya, mereka yang sudah lama berada di tampuk atasan, yang sudah sepatutnya bersara, bersara sahajalah.
Bagi pula peluang kepada generasi baharu yang lebih terdedah kepada teknologi dan peredaran semasa.
Jika masih lagi hendak memegang jawatan, pastikan ikut keserasian zaman semasa, bukan lagi berfikiran ‘zaman dinosaur’.
‘Zaman dinosaur’ yang sama maksudkan adalah mentaliti lama, masih berpaut kepada elaun-elaun lama yang sepatutnya sudah dimansuhkan dan tidak lagi relevan masa kini.
Begitu juga dengan mentaliti dan perilaku yang tidak lagi ‘in’ (menepati) di era yang segala-galanya berkaitan teknologi dan minda yang terbuka luas.
Sebab itu apabila Anwar menegaskan tempoh mengehadkan perjawatan Perdana Menteri, saya secara peribadi menyokongnya.
Cukup-cukuplah dan apabila sudah sampai masanya, lebih baik berundur secara terhormat, bukannya masih ‘tamakkan’ dunia ini.
Saya? Sampai masanya akan berundur juga, kerana ini sudah lagi bukan zaman saya, ini zaman anak-anak muda.
Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV

