SEBANYAK 2,889 kes berkaitan buli direkodkan telah berlaku di sekolah sepanjang tahun lalu.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu, statistik itu merangkumi 740 kes berlaku di sekolah rendah manakala 2,149 kes lagi dilapor berlaku di sekolah menengah.
Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku buli yang berlaku di institusi pendidikan.
Beliau berkata, usaha membanteras gejala buli merupakan satu usaha berpanjangan dan berterusan serta memerlukan komitmen daripada semua pihak agar ekosistem sekolah sentiasa selamat dan kondusif.
“KPM amat memandang serius terhadap salah laku buli yang berlaku dalam kalangan murid agar tindakan tegas, menyeluruh dan berterusan dapat diambil bagi memastikan keselamatan, kebajikan serta kesejahteraan murid sentiasa terpelihara.
“KPM telah pun mempunyai mekanisme yang jelas menerusi ketetapan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) sebagai panduan kepada pentadbir sekolah.
“Selain itu, konsep Sekolah Selamat telah menetapkan keperluan untuk mewujudkan persekitaran fizikal, sosial dan emosi yang stabil bagi seluruh warga sekolah,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan dikemukakan Zakri Hassan (PN-Kangar) yang mahu mengetahui statistik terkini kes buli dan gangguan di sekolah serta langkah-langkah pencegahan awal oleh KPM.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, audit keselamatan juga telah dilaksanakan di seluruh negara bagi menjamin isu keselamatan ditangani dengan berkesan serta memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) sekolah dipatuhi.
Baca artikel lain: Polis siasat dakwaan kejadian buli di Kg Melayu Majidee, mangsa diminta tampil buat laporan
Katanya, sebanyak 1,758 sekolah telah terlibat dalam audit keselamatan sehingga 19 November 2025.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM turut menyemak semula SOP bagi salah laku buli dan salah laku seksual serta melaksanakan reformasi sistem aduan buli untuk melindungi identiti pengadu dan saksi.
Selain itu, beliau menjelaskan, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) berserta pelaksanaan program sokongan kesihatan mental dan psikososial turut diperkukuh melalui penempatan baharu seramai 523 guru bimbingan dan kaunseling yang telah ditempatkan di sekolah seluruh negara.
Sebagai langkah ke hadapan, katanya, KPM juga telah melaksanakan Reformasi Segera ke atas sistem dan mekanisme sedia ada, pemerkasaan sekolah selamat serta program pendidikan yang sedang dilaksanakan.
“Inisiatif ini dilaksanakan dengan usaha merentasi kementerian terutama Kementerian Kesihatan (KKM); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Komunikasi; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pendekatan seluruh masyarakat melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan pihak Swasta (PIBKS) serta badan bukan kerajaan (NGO).
“KPM komited setiap anak di negara ini berhak berada dalam ekosistem sekolah yang selamat, terjamin dan harmoni agar mereka dapat melalui pengalaman pembelajaran yang berkualiti,” jelasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

