‘Budaya sate’, cucuk-cucuk, bakar-bakar, kipas-kipas dalam orang kita

Dari Penulis

SEDANG saya mencari-cari idea artikel minggu ini berkaitan dengki atau phd (perasaan hasad dengki), saya tertarik dengan penulisan Dr Nor Azaruddin Husni Nuruddin yang diterbitkan di laman sesawang Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bertarikh 27 Mac tahun lalu.

Tulis beliau, budaya phd ini dikenali juga sebagai ‘budaya sate’ iaitu budaya ‘cucuk-cucuk, bakar-bakar dan kipas-kipas’.

Ya memang begitulah budaya phd dalam kalangan orang kita, pasti ada yang menyucuk, ada juga ‘tukang bakar’ dan tidak dilupakan ‘tukang kipas’ yang menyemarakkan lagi api kedengkian.

Tiga peranan ini cukup bahaya. Bak kata Dr Nor Azaruddin, ia sampaikan mampu meruntuhkan sesebuah tamadun bangsa.

Beliau turut mengingatkan kita mengenai kisah Nabi Yusuf yang didengki oleh adik-beradik sendiri. Rancangan jahat mereka telah dirakamkan di dalam al-Qur’an, Surah Yusuf ayat 9-10.

Namun dengki dalam masyarakat kita mungkin nampak jauh lebih parah sehingga ada yang sanggup bersahabat dengan syaitan, menggunakan santau untuk kepuasan diri.

Puas melihat orang lain tumbang, puas melihat orang yang tidak disukai itu ‘muntah darah’ sepanjang hayat.

Di sudut lain, dengki juga berlaku ketika seseorang itu mungkin tidak mendapat ‘perhatian’ sewajarnya, mungkin daripada majikan atau mungkin diketepikan atau ‘dibuang’ daripada circle tertentu.

Ia kemudiannya memicu rasa dengki yang membuak-buak sehingga sanggup melakukan apa sahaja, supaya circle itu runtuh.

Sebab itu kadang-kadang kita dapat lihat bagaimana kejadian dengki ini dalam circle peniaga atau bisnes.

Ada yang sanggup ‘sailang’ rezeki orang lain dengan cara yang memualkan, ‘sailang’ projek, ‘sailang’ tender dan macam-macam lagi.

Semuanya ini biasa kita dengar, biasa kita hadapi.

Kadang-kadang saya terfikir, kepuasan apa yang mereka ini cari dengan cara sebegini? Puas hati melihat orang lain jatuh? Puas?

Untuk itu Dr Nor Azaruddin menasihatkan: “Golongan dengki ini telah lupa bahawa adanya balasan di akhirat nanti yang menanti mereka walau sebesar zarah sekali pun keburukan yang mereka lakukan ketika di dunia ini tetap dihitung”.

Tetapi berapa ramai yang mahu berubah? Mahu terima nasihat sebegini? Biarpun tahu adanya hukuman nanti di akhirat, golongan sebegini seolah-olah telah terlalu seronok dengan sikap ‘phd’ ini.

Oleh sebab itu, mereka ini, biarpun berapa usianya, mungkin sudah lali dengan nasihat dan amaran diberikan.

Akhir kata, biar di mana kita berada, biar di mana kita dicampakkan, biar apa jua masalah atau cabaran menimpa, jujurlah dengan rezeki yang diterima.

Usah dengki dengan apa jua rezeki atau keadaan hidup. Kelak, dengki itu akan berbalik menimpa kita sendiri satu hari nanti.

Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pas hentikan kerjasama politik dengan Bersatu – Hadi Awang

MESYUARAT Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat menetapkan parti itu menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu. Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi...

More Articles Like This