POLIS sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan pagi ini mengesahkan telah menerima laporan mengenai perkara itu.
Katanya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan / Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Jelas beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan, iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, apabila disabitkan hendaklah dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga dua puluh tahun.
“Siasatan masih diteruskan dan masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

