DALAM keghairahan anak muda mengejar glamor dan populariti, bintang meningkat naik, Adriana Ghafar memilih jalan yang sedikit berbeza.
Selepas berjaya merangkul gelaran Naib Juara Dewi Remaja 2019, kelibatnya seakan-akan ‘hilang’ daripada radar industri hiburan tempatan.
Rupa-rupanya, kehilangan gadis kelahiran Johor Darul Takzim ini bukanlah kerana sudah jemu dengan dunia seni, sebaliknya dia memilih untuk meletakkan noktah seketika pada kerjaya lakonan demi memberi laluan kepada cita-cita yang lebih besar demi menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Malaya (UM).
Jelasnya, keputusan untuk berehat seketika daripada industri seni adalah satu langkah yang perlu diambil bagi memastikan masa depannya lebih terjamin.
Bagi Adriana, ilmu yang ditimba di menara gading bukan sekadar di atas kertas, tetapi merupakan satu proses matang yang akan mempengaruhi caranya mencorak kerjayanya sebagai anak seni pada masa hadapan.
“Saya sebenarnya tidak hilang dari industri, cuma saya mengambil keputusan untuk berehat seketika bagi memberikan keutamaan sepenuhnya kepada pengajian dalam bidang undang-undang.
“Bagi saya, pendidikan adalah elemen paling penting yang menjadi tiang seri dalam kehidupan seseorang.
“Walaupun begitu, minat mendalam saya dalam dunia lakonan dan penyiaran tidak pernah luntur.
“Saya rasa sekarang adalah fasa terbaik untuk saya kembali melangkah dengan lebih jauh dan serius dalam industri ini,” katanya kepada URTV.
Meskipun kini bergelar graduan undang-undang daripada universiti tersohor, Adriana mempunyai perspektif yang cukup unik mengenai kerjayanya.
Dia tidak melihat ijazah yang dimilikinya itu sebagai satu ‘sekatan’ untuk hanya bergelar peguam, sebaliknya ia adalah nilai tambah yang boleh diaplikasikan dalam apa jua bidang.
Mengambil inspirasi daripada rakan seperjuangannya, Shaza Bae yang juga Juara Dewi Remaja 2019, Adriana berharap kehadirannya semula kali ini mampu memberi impak yang sama besar.
“Walaupun saya memiliki latar belakang pendidikan undang-undang, itu tidak bermakna saya wajib bekerja sebagai peguam semata-mata.
“Sama seperti graduan dalam bidang lain, ilmu yang kita peroleh sebenarnya boleh diaplikasikan dalam mana-mana kerjaya yang kita pilih.
“Namun, impian untuk mempunyai firma guaman sendiri itu memang masih ada dalam perancangan masa depan.
“Cuma buat masa sekarang, fokus utama saya adalah untuk membina nama dan kerjaya dalam industri hiburan terlebih dahulu,” tambahnya lagi.
Kehadiran semula Adriana bukan sekadar untuk memenuhi ruang skrin televisyen, tetapi dia membawa misi yang lebih murni iaitu memperjuangkan isu pemerkasaan wanita (Women Empowerment).
Malah, dia kini giat bekerjasama dengan organisasi Women of Will bagi membantu golongan wanita yang memerlukan.
Menyedari dunia seni tidak lari daripada kontroversi dan kecaman netizen, Adriana mengakui bahawa pengajian undang-undangnya telah mempersiapkan dirinya dari segi mental dan emosi untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.
“Saya sedar mana-mana bidang pun ada cabaran tersendiri, termasuklah industri seni.
“Namun, saya sudah mempersiapkan diri secara mental, terutamanya dalam mendepani kritikan.
“Mungkin latar belakang undang-undang membuatkan saya lebih matang dalam menguruskan situasi sebegini.
“Dengan tahap profesionalisme yang saya pelajari, saya yakin mampu mengendalikan setiap cabaran dengan sebaik mungkin,” ujarnya yang bakal memulakan penggambaran beberapa projek lakonan dalam masa terdekat.
Kemunculan semula Adriana Ghafar ini membuktikan seni dan ilmu mampu berjalan seiring, sekaligus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk tidak sesekali mengabaikan pendidikan walau setinggi mana pun impian yang ingin dicapai.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

