MALAYSIA mencatatkan rekod pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara pada 2025 apabila mencecah RM426.7 bilion iaitu meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak 8,390 projek telah diluluskan, dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.
“Pelaburan domestik kekal kukuh pada RM219.6 bilion, merangkumi 51.5 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara.
“Pelaburan asing melonjak 20.9 peratus kepada RM207.1 bilion, mencerminkan keyakinan pelabur tempatan dan antarabangsa terhadap kestabilan, dasar yang jelas serta hala tuju ekonomi Malaysia,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Katanya lagi, pencapaian ini adalah hasil ikhtiar bersepadu jentera Kerajaan MADANI, dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) terus mempergiatkan usaha.
Jelasnya, kedua-dua agensi berkenaan bukan sahaja bertanggungjawab memastikan setiap pelaburan diluluskan tetapi direalisasikan dan diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pemindahan teknologi serta kemakmuran rakyat.
“Ini bukan sekadar angka, sebaliknya bukti keyakinan dunia terhadap Malaysia dan agenda pembaharuan yang sedang kita laksanakan.
“Kita akan terus bekerja keras memastikan seluruh rakyat merasai nikmatnya,” kata Perdana Menteri.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

