DATUK Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan Israel dan sekutunya Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran sebagai pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa.
Perdana Menteri turut melihat tindakan yang telah mengakibatkan lebih 1,000 nyawa tidak berdosa terkorban itu sebagai melanggari Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perkara itu ditegaskan oleh Anwar ketika menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
“Kami bertukar pandangan berhubung perkembangan di Asia Barat. Kami berkongsi kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat.
“Kami turut senada bahawa semua pihak yang terlibat perlu segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Pada masa sama, katanya, Shehbaz memaklumkan perkembangan mengenai ketegangan antara Pakistan dan Afghanistan, serta berkongsi pandangan tentang inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi merintis jalan damai antara kedua-dua negara.
“Saya menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan. Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

