JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya merampas sebanyak 3,284 bungkusan dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM170 juta dalam serbuan yang dijalan di ibu kota.
Pengarahnya, Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan maklumat risikan, pada 2 Mac lalu pihaknya telah melancar dua siri serbuan dan berjaya menangkap dua lelaki tempatan berusia antara 38 hingga 44 tahun.
Jelasnya, serbuan pertama dijalankan di sebuah rumah teres sekitar Taman Gembira ketika suspek sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan guni putih dari rumah ke dalam sebuah lori.

“Hasil pemeriksaan di dalam lori dan rumah tersebut telah berjaya merampas sebanyak 128 guni putih yang mengandungi 3,205 bungkusan dadah disyaki jenis methamphetamine.
“Selain empat peket plastik lutsinar yang mengandungi dadah disyaki pil ekstasi anggaran berat 1.4 kg,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Hussein menambah susulan tangkapan itu, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah teres di sekitar Taman Overseas Union Garden, Jalan Klang Lama.
“Hasil pemeriksaan tersebut telah merampas sebanyak tiga guni putih dan satu beg warna mengandungi 79 bungkusan disyaki dadah jenis methamphetamine.
“Jumlah keseluruhan dadah jenis methamphetamine yang dirampas adalah sebanyak 3,284 bungkusan dengan anggaran berat 3,402.18 kg,” katanya.
Katanya lagi, suspek pertama berperanan sebagai ‘transporter’ manakala suspek kedua berperanan sebagai ahli sindiket dan mereka percayai aktif sejak Disember 2025.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa lori bagi membawa bekalan dadah dari utara semenanjung ke sekitar Lembah Klang.
“Dadah tersebut kemudiannya disimpan di rumah yang disewa sebelum dipasarkan ke pasaran luar negara,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Kedua-dua suspek direman selama 14 hari bermula sehingga 16 Mac 2026, dengan hasil semakan mendapati suspek kedua mempunyai 14 rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan 12 rekod kes dadah dan dua rekod kes jenayah.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

