SEORANG wanita warga Indonesia ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam tasik di Taman Tasik Lake Valley, Bandar Tun Hussein Onn, Cheras, petang semalam.
Wanita tersebut dipercayai terjun ke dalam tasik ketika cuba melarikan diri daripada pihak kedutaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan, pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.35 petang.
Menurut beliau, sebaik menerima panggilan, jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn telah bergegas ke lokasi kejadian dan tiba empat minit kemudian.
“Komander operasi melaporkan kejadian membabitkan seorang wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30-an yang terjun ke tasik dipercayai ketika melarikan diri daripada pihak kedutaan.
“Operasi mencari dan menyelamat dilaksanakan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air sebelum pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman bagi mengesan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Mukhlis berkata, unit PPDA telah memukakan selaman bagi mengesan mangsa pada pukul 10.10 malam tadi.
Katanya, mangsa kemudiannya berjaya ditemui kira-kira sembilan minit kemudian.
“Mangsa dijumpai pada jarak kira-kira enam meter dari tebing tasik dengan kedalaman tiga meter.
“Mangsa dibawa naik sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya.
Operasi berkenaan membabitkan BBP Bandar Tun Hussein Onn dengan bantuan Unit PPDA dari BBP Pelabuhan Klang, BBP Shah Alam dan BBP KLIA.
Seramai enam anggota bomba bersama 11 anggota Unit PPDA terbabit dalam operasi yang tamat sepenuhnya pada jam 11.10 malam.
Operasi turut disertai PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), wakil Kedutaan Indonesia serta pasukan penyelamat lain.

