KESEMUA 345 institusi pendidikan yang berada di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan diberikan satu hari cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Asyraf Wajdi, pengumuman itu dilakukan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman.
“Saya sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Mara untuk turut memberikan satu hari cuti tambahan bersempena Hari Raya Aidilfitri kepada semua 345 institusi pendidikan Mara.
“Kenyataan rasmi daripada Mara akan menyusul,” katanya secara ringkas dalam hantaran tersebut.
Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan satu hari cuti tambahan iaitu pada hari Rabu, 18 Mac kepada semua sekolah di seluruh negara bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
KPM dalam kenyataan sama memaklumkan pemberian cuti tambahan itu bertujuan memberi ruang kepada guru, murid dan ibu bapa membuat persiapan sewajarnya bagi menyambut Aidilfitri dalam suasana yang teratur.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

