SUASANA sambutan Aidilfitri di Malaysia mengeratkan silaturahim, menyemai persefahaman dan memperkukuh perpaduan yang menjadi asas kekuatan negara.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan menyifatkan ia merupakan keindahan sebenar Malaysia apabila tangan dihulur untuk bersalaman dan senyuman dikongsi bersama.
Menurut Ramanan, Aidilfitri turut mengingatkan bahawa berbeza budaya dan cara hidup, namun nilai hormat, kasih sayang dan kebersamaan sentiasa menjadi jambatan.
Katanya, tradisi rumah terbuka juga menjadi lambang keunikan negara di mana masyarakat duduk semeja dan menikmati juadah bersama dalam suasana penuh mesra tanpa membezakan agama, bangsa mahu pun latar belakang.
“Ia menyatukan kita sebagai satu keluarga besar Malaysia MADANI.
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
“Semoga perjalanan pulang sentiasa selamat dan Syawal disambut dengan penuh kegembiraan bersama insan tersayang,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Sementara itu, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, Aidilfitri adalah saat untuk semua kembali kepada perkara paling bermakna dalam hidup iaitu keluarga, kasih sayang dan kebersamaan.
“Di kota-kota besar, jutaan pekerja setiap hari gigih mencari rezeki, termasuk kelompok pekerja gig yang bekerja tanpa mengira waktu demi menyara kehidupan keluarga.
“Menjelang Syawal, ramai dalam kalangan mereka memulakan perjalanan pulang ke kampung, membawa bersama rindu yang sekian lama terpendam.
“Di hati, tersimpan kerinduan tidak pernah pudar, kepada ibu bapa yang setia menunggu di hadapan rumah, kepada hidangan yang dimasak penuh kasih, dan kepada pelukan keluarga yang telah lama dirindui,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

