AHLI Majlis Pimpinan Tinggi PKR, Dr Abu Hafiz Saleh Hudin menggesa seorang ahli perniagaan untuk segera menamakan individu yang didakwa menerima bayaran RM9.5 juta, tanpa menunggu tarikh akhir hujung bulan ini.
Abu Hafiz berkata, dakwaan wang tersebut dibayar kepada seorang ahli Parlimen kerajaan sebagai jalan penyelesaian adalah serius dan tidak boleh dibiarkan berlarutan dalam bentuk spekulasi.
Hal itu menurut beliau kerana ia melibatkan integriti institusi dan keyakinan rakyat.
“Ahli perniagaan ini juga perlu pulang ke Malaysia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa serta menghadapi sebarang siasatan atau pertuduhan sekiranya tidak bersalah.
“Isu ini tidak boleh dilihat secara terpisah daripada latar belakang kes melibatkan ahli perniagaan berkenaan,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun media sosial beliau.
Abu Hafiz berkata, ahli perniagaan itu juga sebelum ini dikaitkan dengan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, termasuk pembekuan ratusan akaun, siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), serbuan premis, sitaan aset serta tempoh reman.
Katanya, ia menunjukkan kes tersebut kompleks dan melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan.
Selain itu, beliau turut menyentuh spekulasi di media sosial mengenai individu dikenali sebagai ‘Mr R’.
Katahya, perkara itu tidak wajar mengalih perhatian daripada siasatan sebenar.
Abu Hafiz turut memuji tindakan Menteri Sumber Manusia yang juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan yang tampil memberi penjelasan kepada media semalam.
“Itu langkah yang telus dan wajar dalam keadaan spekulasi semakin meluas,” katanya.
Beliau menegaskan, sekiranya benar wujud unsur pemerasan atau rasuah melibatkan mana-mana menteri atau Ahli Parlimen, siasatan dan pendakwaan mesti dilaksanakan tanpa sebarang perlindungan politik.
“Malaysia bukan negara undang-undang rimba. Tidak boleh ada sesiapa kebal daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas dan telus demi memastikan kebenaran dapat ditegakkan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

