MAJLIS Perwakilan Penduduk (MPP) tidak mempunyai kuasa untuk turun ke lapangan memerika premis mahupun lesen perniagaan.
Itu penegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berhubung isu video tular dua wakil MPP didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan, baru-baru ini.
Hannah berkata, garis panduan MPP jelas menyatakan bahawa majlis itu adalah untuk mewakili penduduk untuk menyelaraskan isu-isu aduan dan membawanya kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya tidak kira mana-mana MPP sekalipun, kuasa untuk turun ke lapangan, periksa lesen atau berjumpa dengan pemaju, semua itu ada platform dan forum iaitu melalui townhall dan mesyuarat bersama DBKL. Itu adalah tugas pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Berkenaan tindakan, kita sedang tunggu hasil siasatan tapi saya sedia maklum mengenai kenyataan PKR yang meminta mereka yang terlibat untuk mengosongkan jawatan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran KIPRUN di ibu negara, hari ini.
Jangan takut diperas ugut, kerajaan tidak bertoleransi terhadap pelanggaran undang-undang
Mengulas lanjut, Hannah berkata, orang ramai khususnya peniaga tidak perlu berasa takut sekiranya ada pihak membuat onar dan melanggar undang-undang seperti meminta wang perlindungan.
Katanya, DBKL telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menegakkan undang-undang secara adil.
Beliau juga menasihatkan para peniaga untuk berurusan secara terus dengan DBKL tanpa melibatkan ejen mahupun orang tengah.
“Saya nak hapuskan amalan orang tengah di Kuala Lumpur. Sebarang urusan perlu terus dengan DBKL,” katanya.
Mengulas mengenai isu segelintir jurugambar jalanan yang membuat onar di KLCC baru-baru ini, Hannah berkata, beliau akan membuat spotcheck bersama dengan pihak berkuasa dalam masa terdekat.
Katanya, polis juga sedang melakukan rondaan dengan lebih kerap di kawasan-kawasan panas.
“Saya akan bincang dengan DBKL untuk tengok bagaimana kita boleh pasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di luar supaya kita boleh mengenal pasti muka-muka yang berniaga seperti ini tanpa lesen, tanpa kebenaran apa-apa dari DBKL.
“Isu ini kita ambil serius kerana kita tidak mahu pelancong dibuli, rakyat Malaysia dibuli kerana mereka memburukan nama Malaysia,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

