POLIS sedang berusaha mengesan seorang lelaki yang dipercayai bermain mercun secara berbahaya dari dalam sebuah kereta yang sedang bergerak di kawasan Elmina Rainforest, Persiaran Ficus Seksyen U15 Shah Alam.
Kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 50 saat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, pihaknya telah menerima satu laporan lebih kurang pukul 12.48 tengah hari tadi.
Katanya, ia selepas video tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.
Menurut Ramsay, video tular tersebut memaparkan seorang lelaki melepaskan beberapa das tembakan mercun ke udara ketika sedang berdiri melalui cermin sunroof kereta yang dipercayai dipandu individu lain.
kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000.
“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000.
“Pada mada sama, polis turut menyiasat kes ini menerusi Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 2007 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun jika disabitkan dengan mana-mana kesalahan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ramsay memaklumkan, usaha menangkap suspek sedang giat dijalankan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Ahmad Mokhsin Abdul Rahman di talian 011-17554394 bagi membantu siasatan,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

