KERAJAAN digesa melaksanakan Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau Akta 333 sepenuhnya dengan melakukan pindaan lebih tegas terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah (DUI) yang menyebabkan kematian.
Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong menegaskan, hukuman lebih berat perlu dikenakan menerusi Akta 333 khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45.
Menurut Choo Seong, pelaksanaan Akta 333 dengan tegas dapat membantu mengurangkan angka kemalangan.
Pada masa sama, kata beliau, ia juga membantu Kerajaan MADANI mengelak tanggapan negatif orang awam bahawa undang-undang Malaysia bersifat berat sebelah atau tidak menitik berat keselamatan pengguna jalan raya.
“Keadilan mesti ditegakkan serta dilihat ditegakkan bagi memberi iktibar dan kesedaran kepada orang ramai khususnya menghantar isyarat yang jelas kepada bakal pemandu DUI untuk berfikir dua kali bahawa hukuman berat sedang menanti mereka.
“Kempen kesedaran awam juga tidak boleh terhenti sebaliknya perlu diteruskan seperti menggalakkan penggunaan perkhidmatan e-hailing dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Statistik hingga Jun 2025 catat 41 kematian
Mengulas lanjut, Choo Seong berkata, insiden seorang penunggang motosikal yang maut akibat dirempuh seorang pemandu DUI sekali lagi menuntut ketegasan kerajaan membendung kemalangan seumpama itu.
Katanya, statistik dari tahun 2022 sehingga Jun 2025 telah mencatatkan 41 kematian dalam kemalangan jalan raya akibat pemanduan DUI di samping kerosakan harta benda lain.
“Takziah kepada keluarga Amirul Hafiz Omar yang maut dalam kejadian menyayat hati itu.
“Semoga Allahyarham dan keluarganya beroleh keadilan,” katanya.
Semalam, pemandu Honda City yang melanggar seorang penunggang motosikal hingga menyebabkannya maut didapati positif dadah dan berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan umur 20-an dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang telah dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, pemandu tersebut dipercayai telah memotong beberapa kenderaan di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
Akibat pelanggaran tersebut, katanya, mangsa seorang lelaki tempatan umur 30-an telah tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

