PENYANYI Nourul Depp tekad mempertahankan penganjuran konsert solo For You Nourul meskipun didatangi pihak tertentu yang mendesaknya membatalkan acara tersebut demi sebuah tawaran persembahan di lokasi yang lebih berskala besar.
Nourul, atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab, 49, berkata insiden tersebut berlaku ketika dia pulang ke tanah air bagi meraikan sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Menurut pelantun lagu Kerana Terluka ini, individu terbabit mendakwa mempunyai kertas cadangan yang lebih kukuh untuk membawanya beraksi di pentas berprestij, Axiata Arena.
Mengulas mengenai keputusannya menolak tawaran tersebut, Nourul menjelaskan bahawa tindakannya itu bukan didorong oleh rasa ego, sebaliknya ia adalah soal prinsip dan menghormati komitmen yang telah dijalinkan bersama barisan krunya.

“Individu tersebut meminta saya membatalkan konsert yang sudah dirancang ini kerana dia ingin mengaturkan sesuatu yang lebih besar buat saya di Axiata Arena.
“Namun, saya mempersoalkan bagaimana mungkin saya membatalkannya begitu sahaja?
“Saya mempunyai perancangan sendiri untuk persembahan ini dan ia bukan soal ego semata-mata,” katanya kepada URTV.
Tambahnya, proses persiapan konsert tersebut sudah pun berjalan lancar, melibatkan pelbagai pihak yang telah memberikan komitmen penuh.
“Saya tidak berasa ralat menolak tawaran itu kerana saya mempunyai matlamat dan sasaran yang jelas.
“Segala urusan sudah pun berjalan di mana pasukan perhubungan awam (PR), produksi, dan barisan pemuzik sudah pun dibayar.
“Saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana perjalanan kerja akan menjadi tidak profesional sekiranya saya berubah fikiran di saat akhir,” ujarnya.
Bagi Nourul, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi merupakan manifestasi daripada ilmu ‘mencari diri’ yang dipelajarinya selama ini.
Dia menegaskan, meskipun pihak terbabit menawarkan untuk menanggung semula segala kos yang telah dikeluarkan tetapi dia akan kehilangan peluang untuk mengekspresikan visi artistiknya secara bebas.
“Walaupun mereka sanggup membayar balik semua kos, saya tetap tidak akan dapat melakukan apa yang saya mahukan.
“Saya perlu menjadi diri sendiri. Ilmu mencari diri yang saya pelajari harus diterjemahkan dalam konsert ini.
“Sebab itulah tajuk ‘For You’ dipilih, sebagai tanda penghargaan buat peminat dan juga untuk kepuasan diri saya sendiri?,” ujarnya.
Menyentuh mengenai penundaan tarikh konsert, persembahan yang asalnya dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 17 April ini kini ditunda ke tarikh baharu iaitu pada 30 Mei depan.
Penundaan tersebut terpaksa dilakukan ekoran masalah peribadi yang dihadapi oleh penganjur asal.
Bagaimanapun, Nourul menegaskan dia tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan penganjur berkenaan kerana memahami situasi sukar yang dihadapi individu terbabit.
“Penganjur asal merupakan seorang peminat yang sangat baik, namun dia berdepan masalah peribadi apabila dikhianati rakan kongsi.
“Dia telah memohon maaf secara terbuka dan menyerahkan semula urusan tiket yang telah terjual kepada syarikat saya untuk diteruskan secara persendirian,” jelasnya.
Sebagai nilai tambah bagi konsert yang akan datang, Nourul turut mengumumkan penyanyi Mimi Fly, sebagai artis undangan bagi memeriahkan lagi malam penuh bermakna itu nanti.
Dengan segala persiapan yang kini dikendalikan sendiri di bawah syarikat miliknya, Nourul Depp menjanjikan sebuah persembahan yang cukup intim dan eksklusif buat semua pengikut setianya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

