MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berpesan kepada pengguna supaya tidak perlu panik dalam berdepan dengan cabaran global ketika ini.
Tegasnya beliau, apa yang penting adalah semua pihak bijak menguruskan perbelanjaan, elakkan pembaziran dan jangan beli secara berlebihan.
Pada masa sama, beliau menegaskan, setakat ini keterjaminan makanan negara masih berada pada tahap stabil untuk jangka pendek, dengan bekalan makanan asas mencukupi dan bagi beberapa komoditi utama mempunyai lebihan.
Jelasnya, sebagai contoh beras, ianya cukup sehingga hujung tahun, ditambah pula dengan stok penimbal sekitar 300,000 metrik tan yang sentiasa dipantau.
“Untuk ayam dan telur, tahap sara diri kita hampir 100 peratus, jadi bekalan masih terkawal.
“Cuma cabaran utama sekarang adalah kos, khususnya kos makanan ternakan seperti jagung dan soya yang masih diimport sepenuhnya.
“Bila kos pengangkutan meningkat akibat krisis tenaga, ia akan beri kesan kepada harga,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Lambakan sayur hingga harga jatuh
Pada masa sama, Mohamad menegaskan, ada juga situasi berbeza seperti lambakan sayur-sayuran yang menyebabkan harga jatuh dan ia memberi tekanan kepada petani.
Justeru, ketika ini, katanya, kerajaan sedang meneliti langkah terbaik termasuk memperkukuh sektor akuakultur sebagai alternatif bekalan.
“Sebab itu kerajaan sedang susun langkah seperti penjadualan tanaman dan sistem ladang kontrak supaya harga lebih stabil. Namun, kita juga perlu beri perhatian kepada bekalan ikan.
“Faktor cuaca panas akibat El-Nino dan kos diesel yang meningkat telah menjejaskan operasi nelayan, terutama vesel laut dalam,” katanya lagi.
Krisis tenaga global beri kesan kepada sektor pertanian
Mengulas lanjut, Mohamad mengakui bahawa krisis ketika ini akan memberi kesan kepada sektor pertanian, daripada kos baja, operasi mesin, hinggalah ke logistik.
Ujarnya, kesan ini tidak berlaku serta-merta, tetapi dijangka dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, dan disebabkan itu kerajaan sedang mengambil langkah awal supaya impaknya dapat dikawal.
“Kerajaan juga telah menggerakkan pelbagai usaha mitigasi seperti memperkukuh stok penimbal beras, membuka kawasan sawah baharu, membangunkan industri jagung tempatan, serta memperkenalkan inisiatif seperti Rancangan Buku Hijau 2.0.
“Dalam menghadapi El-Nino pula, fokus diberikan kepada pengurusan air yang lebih cekap, penggunaan kaedah alternatif seperti tabur kering, serta penjadualan tanaman yang lebih strategik supaya pesawah dan pekebun tidak terjejas teruk,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

