SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan dan seorang pengerusi sebuah syarikat pegangan selama lima hari lagi.
Kedua-duanya disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun tersebut.
Perintah reman sehingga 16 April terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan Majistret Ainul Izzati Mohd Jamili selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi sebaik sahja tempoh reman asal terhadap kedua-dua suspek tamat hari ini.
Sebelum ini kedua-dua suspek telah ditahan reman selama empat hari sejak Khamis lalu.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Tambah beliau, kes tersebut turut disiasat berkaitan kesalahan pecah amanah jenayah dan kesalahan jenayah lain yang berkaitan, khususnya di bawah kesalahan aktiviti pengubahan wang haram.

