PRU-16 bukan soal siapa paling kuat tapi cekap urus keseimbangan kuasa

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

PILIHAN Raya Umum Ke-16 (PRU-16) yang akan diadakan dalam tempoh satu ke dua tahun lagi disifatkan bukan lagi merupakan pertandingan menentukan parti politik mana yang paling kuat.

Sebaliknya, Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM) dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia, Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan PRU-16 itu kelak merupakan cerminan kepada siapa yang paling cekap mengurus keseimbangan kuasa.

Menurut beliau, ia kerana sistem politik di negara ini dilihat semakin kompleks.

Sehubungan itu, Awang Azman tidak menolak kemungkinan besar bahawa kita akan dapat melihat Parlimen tergantung berlaku sekali lagi.

Prof Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi

“Kemungkinan berlakunya Parlimen tergantung dalam PRU-16 masih tinggi memandangkan politik Malaysia kini telah memasuki era gabungan pelbagai parti dengan sokongan pengundi yang semakin berpecah mengikut isu, wilayah dan generasi.

“Ini bermakna tiada satu parti pun dijangka mampu mendominasi secara solo dan pembentukan kerajaan akan terus bergantung kepada kebijaksanaan membina koalisi yang stabil.

“Dalam erti kata lain, PRU-16 bukan lagi pertandingan siapa paling kuat tetapi siapa paling cekap mengurus keseimbangan kuasa dalam sistem politik yang semakin kompleks,” katanya kepada UtusanTV.

PRU-16 kemungkinan akhir 2026 atau pertengahan 2027

Ketika ditanya tentang tempoh paling sesuai diadakan PRU-16, Awang Azman berpandangan kemungkinan besar ia akan diadakan menjelang akhir 2026 atau pun sehingga pertengahan 2027.

Beliau berkata, tempoh itu dilihat sesuai mengambil kira kerajaan berpeluang menunjukkan hasil dasar dan tekanan kos sara hidup yang akan sedikit mereda.

“Perdana Menteri juga berkemungkinan besar tidak tergesa-gesa membubarkan Parlimen, sebaliknya menunggu hampir ke penghujung penggal atau selepas beberapa pencapaian nasional penting bagi membina sentimen positif rakyat,” jelas beliau.

Mengulas sekiranya PRU-16 diadakan dalam tempoh terdekat, Awang Azman berkata, kerajaan sememangnya mempunyai kelebihan relatif kerana pembangkang masih berdepan isu kepimpinan dan naratif tidak konsisten.

Namun begitu, kata beliau, kelebihan itu lebih bersifat sementara dan rapuh.

“Ia kerana kelebihan itu boleh terhakis oleh isu-isu semasa seperti kenaikan harga barang, subsidi serta persepsi terhadap kecekapan dan integriti pentadbiran.

“Dalam konteks ini, kekuatan kerajaan bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada kelemahan lawan tetapi kepada keupayaannya mengurus ekonomi dan memenuhi harapan rakyat secara berkesan,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Tambang percuma LRT3, bas pengantara sebulan mulai esok – Anwar

ORANG ramai boleh menikmati perkhidmatan percuma Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam selama sebulan bermula esok...

More Articles Like This