KEUTAMAAN kerajaan adalah memastikan bekalan tenaga domestik mencukupi untuk kegunaan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, oleh hal demikian, Malaysia tidak akan menjual minyak kepada negara lain secara sewenang-wenangnya.
Jelas beliau, perbincangan dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese semalam menyentuh mengenai keperluan sumber perdagangan dua hala yang bersifat saling melengkapi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sekaligus membidas dakwaan pihak tertentu bahawa perbincangan itu melibatkan penjualan minyak.
“Sebenarnya kita tak jual minyak. Kita kata kita perlu daripada dia, ini kadang-kadang kita kena faham. Kita perlu (bahan baja) fosfat daripada dia (Australia), dia pula perlu urea daripada kita,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan juga tidak berupaya membekalkan diesel kepada pihak luar pada masa ini memandangkan bekalan sedia ada perlu diutamakan untuk kepentingan rakyat dalam negara.
“Ada minyak, kita kata kita boleh pertimbang sekiranya ada lebihan. Sekarang ini belum. Tetapi tohmahan itu lain. Jadi saya tidak fikir wajarlah begini rupa,” katanya.
Semalam, Malaysia dan Australia menegaskan komitmen bersama untuk memastikan bekalan tenaga yang stabil dan berdaya tahan dalam mendepani ketidaktentuan global.
Anwar dan rakan sejawatnya Albanese yang mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama dua hari bermula Rabu, turut menekankan kepentingan aliran perdagangan terbuka dalam senario ketidaktentuan global bagi memperkukuh ekonomi kedua-dua negara.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

