Gangguan bagasi KLIA berpunca dari sistem GIS terpelantik

Izzat Nasuruden
Izzat Nasuruden
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

Dari Penulis

PUNCA utama gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 April lalu berpunca daripada gangguan pada sistem Gas Insulated Switchgear (GIS) di pencawang Bukit Raja yang terpelantik.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam kenyataan memaklumkan, gangguan itu menyebabkan penurunan voltan sekali gus menjejaskan operasi KLIA.

Jelas MOT, ia termasuk kegagalan pengawal sistem BHS yang mengakibatkan penutupan besar-besaran pemprosesan bagasi bagi penerbangan ketibaan dan pelepasan.

Menurut MOT, gangguan itu sekaligus mendedahkan kelemahan ketahanan infrastruktur apabila lebih 1,000 bagasi dilaporkan terkandas susulan insiden blackout seketika akibat gangguan bekalan elektrik.

“Walaupun sistem disokong oleh unit bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS), enam unit terjejas, sekali gus memperlihatkan kelemahan daya tahan sistem sedia ada dalam menghadapi gangguan berskala besar.

“Dalam tempoh antara jam 5 petang hingga 10.30 malam pada hari kejadian, sebanyak 23,769 bagasi diproses, namun 1,061 daripadanya dilaporkan sebagai shortshipped manakala 120 lagi dikenal pasti sebagai kehilangan dalam pengendalian ketibaan,” menurut kenyataan itu.

MOT memaklumkan perkara tersebut selepas satu mesyuarat penyelarasan kecemasan dipengerusikan Ketua Setiausaha MOT, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, diadakan pagi tadi bagi menilai impak serta langkah pemulihan segera.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), pengurusan tertinggi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), wakil syarikat penerbangan serta pasukan operasi yang terbabit secara langsung ketika insiden.

MOT memaklumkan, sebahagian besar bagasi berkenaan telah berjaya dihantar kepada pemilik masing-masing dengan hanya sejumlah kecil masih dalam proses akhir pelepasan atau tuntutan.

Menurut MOT, insiden berkenaan tidak menjejaskan jadual penerbangan, dengan tiada sebarang kelewatan atau pembatalan direkodkan.

Jelas MOT, penilaian dalaman turut mengenal pasti cabaran utama termasuk koordinasi operasi di lapangan, masa tindak balas serta keterlihatan sistem masa nyata yang terhad.

“Walaupun Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) diaktifkan, skala gangguan didapati melebihi jangkaan senario sedia ada.

“Sebagai langkah segera, MAHB bersama rakan pengendali darat melaksanakan prosedur manual serta menambah tenaga kerja bagi menstabilkan aliran penumpang dan mengurangkan kesulitan,” jelas MOT.

Dalam perkembangan sama, MOT turut mengarahkan penambahbaikan menyeluruh terhadap protokol serta infrastruktur pengendalian bagasi di KLIA, selain akan memantau rapi pelaksanaannya.

Menurut MOT, nota Jemaah Menteri berhubung insiden itu dijadual dibentangkan pada 22 April ini, manakala Pengarah Urusan MAHB turut diarahkan mengemukakan laporan kemajuan mingguan berkaitan usaha penstabilan operasi bagasi.

Pada masa sama, MOT memaklumkan, CAAM sedang menjalankan siasatan lanjut dan akan bekerjasama dengan MAHB bagi memastikan operasi kembali stabil sepenuhnya serta mematuhi piawaian keselamatan dan perkhidmatan ditetapkan.

“MOT memberi jaminan bahawa langkah proaktif dan tegas sedang dipercepatkan bagi mengelakkan kejadian berulang serta memastikan KLIA terus beroperasi pada tahap kecekapan dan kebolehpercayaan tertinggi,” jelas MOT.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Bangunan haram Rohingya di Sungai Makau bakal dirobohkan

KEDIAMAN bertingkat haram yang pernah didiami etnik Rohingya di Kampung Baru Sungai Makau, Mukim Ulu Langat, bakal dirobohkan mengikut...

More Articles Like This