PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) telah membuat permohonan untuk menjadi sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Putra, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif memaklumkan, surat permohonan bagi menyertai PN itu telah diutuskan kepada Pengerusi gabungan berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain Ahmad Samsuri, Nasrul Ali Hasan berkata, Putra juga telah menghantar surat kepada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung permohonan tersebut, Jumaat lalu.
Katanya, keputusan menyertai PN adalah hasil kesepakatan sebulat suara Biro Politik Putra dan sokongan daripada Ahli Dewan Tertinggi (ADT) parti itu, minggu lalu.
“Ia selepas penelitian dan penilaian dibuat ke atas semua pilihan gabungan atau kerjasama politik yang ada.
“Sehubungan itu, Putra yakin dapat membantu dan menambah sedikit sebanyak kekuatan PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) dengan menyatukan undi-undi orang Melayu dan pribumi.
“Putra berharap agar PN terus menjadi tunjang penyatuan parti-parti politik di Malaysia sekali gus berperanan sebagai alternatif kepada PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) yang dilihat gagal serta dilanda pelbagai isu dan kontroversi,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Nasrul Ali Hasan berkata, Putra menaruh keyakinan tinggi bahawa permohonan parti itu akan diterima sebagai salah satu parti komponen dalam PN.
Menurut beliau, falsafah perjuangan Putra iaitu ‘Bersih dan Bermoral’ menjadi teras kepada perbincangan serta perkembangan politik mutakhir yang mencabar.
Beliau mendakwa, perkembangan politik semasa juga mengganggu-gugat kerangka negara yang mula terhakis akibat kerajaan mendukung fahaman liberalisme dan pluralisme.
“Pertimbangan permohonan ini juga tidak terhad kepada mewujudkan kerjasama pakatan pilihan raya yang hanya untuk mengelakkan pertindihan kerusi yang ditandingi semata-mata.
“Ia juga dibuat atas prinsip mendukung penyatuan ummah serta semangat untuk bersama-sama memperkasa perjuangan bangsa dan negara berteraskan asas Perlembagaan bagi kepentingan semua rakyat Malaysia di bawah naungan Raja-Raja Melayu melalui sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang berintegriti,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

