SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas terjatuh ke dalam kolam buatan di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintendan Azizan Said memaklumkan telah menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) pada pukul 5.44 petang.
Menurut beliau, kanak-kanak perempuan itu difahamkan datang ke Jeram Toi bersama keluarga untuk berkelah.
Azizan berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama ibunya telah tergelincir lalu terjatuh ke dalam kolam tersebut.
“Ibu mangsa telah berjaya menyelamatkan diri setelah terjatuh ke dalam kolam.
“Mangsa bagaimanapun telah tenggelam ke dasar kolam.
“Ibu mangsa memberitahu bahawa kanak-kanak itu tidak pandai berenang,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Azizan berkata, mangsa telah ditemukan berada di dasar kolam hasil bantuan pengunjung di lokasi kejadian.
Katanya, mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Jelebu untuk menerima rawatan kecemasan tetapi telah disahkan meninggal dunia.
“Proses bedah siasat akan dijalankan hari ini bagi mengenal pasti punca kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” jelas beliau.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

