Bapa maut, dua anak perempuan cedera Triton dihimpit treler hilang kawalan

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

SEORANG lelaki maut manakala dua anak perempuannya cedera selepas kenderaan pikap jenis Mitsubishi Triton dinaiki mereka dihimpit sebuah treler yang hilang kawalan di Kilometer 290, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran susur keluar Plaza Tol Chukai, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli memaklumkan, kejadian yang berlaku pada pukul 6.33 petang itu mengakibatkan Rosli Yusuf, 55, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, mangsa maut akibat kecederaan parah pada bahagian dalaman badan.

Mohd Razi memberitahu, dua anak mangsa iaitu Auni Ukhratan Basyirah, 15 dan Iliya Markisa Qurrata Aini, 23 pula mengalami cedera ringan dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan.

Katanya, kemalangan itu melibatkan sebuah treler membawa muatan bata, Mitsubishi Triton dinaiki mangsa dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

“Kejadian tersebut terjadi apabila treler yang berada di lorong kiri dipercayai hilang kawalan sebelum menghimpit kenderaan dipandu mangsa di lorong kanan.

“Akibat kejadian itu, kedua-dua kenderaan itu telah melanggar besi penghadang jalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah SUV dari arah bertentangan pula gagal mengelak dan melanggar bahagian kiri Mitsubishi Triton itu,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Razi berkata, akibat kemalangan itu, treler berkenaan juga telah terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira tiga meter.

Beliau memberitahu, mangsa yang bekerja sebagai penolong juruteknik dalam perjalanan dari Melaka ke Kampung Payoh, Kemaman.

Mayat mangsa telah dihantar ke unit forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kes buli: ‘Jika terbukti salah, mereka hendaklah disingkirkan daripada MRSM’

PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap enam pelajar Tingkatan Lima...

More Articles Like This