SEORANG lelaki warga tempatan, berusia lingkungan 30-an, ditahan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang selepas disyaki memuat naik hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor di media sosial.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, suspek ditahan pada pukul 7.10 malam semalam oleh sepasukan polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Pasukan serbuan turut merampas dua unit telefon bimbit jenama Samsung berserta kad sim yang dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.
“Tangkapan dilakukan susulan siasatan terhadap akaun Facebook ‘Lucas Liam’ yang dipercayai memuat naik hantaran penghinaan pada 2 Mei lalu,” jelasnya dalam kenyataan.
Beliau memberitahu, setakat ini 12 laporan polis diterima atas isu yang sama di seluruh negara.
Jelasnya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok.
“Kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang menyentuh sensitiviti 3R (agama, raja, kaum) boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta kesejahteraan negara.
Justeru katanya, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan platform media sosial dengan berhemah dan bertanggungjawab.

