KETAGIHAN nikotin kini diselindung di sebalik produk yang berwarna-warni dan dipromosikan sebagai gaya hidup moden demi memikat golongan muda.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan, pendirian kementerian jelas bahawa masa depan anak-anak tidak boleh digadaikan demi kepentingan komersial.
“Justeru, Akta 852 dikuatkuasakan sebagai perisai perundangan untuk mengawal ketat produk merokok, termasuk vape,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Perkara itu dinyatakan semasa meluncurkan Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2026 peringkat kebangsaan dan Program LungShield IHH-KKM-PDRM.
Acara ini menterjemahkan komitmen tegas Kerajaan MADANI dalam melindungi kesihatan rakyat dan memelihara generasi pewaris negara daripada ancaman penyakit yang kian berevolusi.
Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata, bagi mendepani cabaran penyakit paru-paru yang sering dikesan lewat, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menjalin kerjasama strategik bersama IHH Healthcare dan polis melalui Program LungShield.
Menerusi inisiatif ini, jelasnya seramai 10,000 anggota polis trafik yang berisiko tinggi di lapangan akan menerima manfaat saringan awal menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan intervensi rawatan lebih pantas.
“Namun, perjuangan ini menuntut pendekatan seluruh negara (‘Whole-of-Nation’). Kepada ibu bapa, lindungilah anak-anak kita dari jerat nikotin.
“Kepada perokok, mulakan langkah untuk berhenti hari ini menerusi pelbagai perkhidmatan sokongan KKM, termasuk platform sokongan digital Cik Era AI.
“Marilah kita jadikan peluncuran hari ini sebagai titik tolak sebuah gerakan nasional. Bersama-sama kita membina masa depan yang lebih bermaruah, di mana paru-paru dilindungi, institusi keluarga diperkukuh dan tiada kesihatan rakyat yang terpinggir,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

