KERAJAAN berhasrat untuk menjadikan sains, teknologi dan inovasi (STI) sebagai pemacu utama kepada penyelesaian ekonomi negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, untuk itu, setiap perancangan dan pelaksanaan mesti digerakkan secara lebih strategik dan berkesan.
Jelasnya, ini bagi membolehkan Malaysia mampu mendepani cabaran kewangan serta ketidaktentuan rantaian ekonomi global, termasuk krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.
“Justeru, tumpuan penuh terus diberikan kepada usaha memperkasa ekosistem STI negara melalui pelaksanaan beberapa inisiatif berasaskan misi yang diyakini mampu mengoptimumkan sumber.
“Selain merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Perkara tersebut beliau tekankan sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2026 hari ini.
Katanya lagi, pendekatan ini amat penting, khususnya dalam memperkukuh sinergi strategik antara Kerajaan MADANI, sektor swasta serta institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Ujarnya, ia demi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada manfaat nyata buat rakyat dan negara.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

