PELAKSANAAN peningkatan adunan biodiesel B10 kepada B15 akan berkuat kuasa secara rasmi bermula 1 Jun depan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad memaklumkan, pihaknya telah melaksanakan semua proses libat urus teknikal bersama syarikat-syarikat petroleum.
Menurut beliau, ia bagi memastikan rantaian bekalan, logistik dan infrastruktur di depoh-depoh adunan bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan peningkatan adunan tersebut.
Beliau berkata, peralihan kepada B15 membuktikan kesediaan infrastruktur dan kejuruteraan serta teknologi dalam negara untuk menyokong agenda tenaga boleh baharu.
“Ia sekali gus memberi isyarat jelas komitmen Malaysia untuk mengoptimumkan penggunaan minyak sawit bagi sektor tenaga domestik tanpa menjejaskan bekalan pasaran eksport.
“Kadar adunan baharu ini dilancarkan menerusi mekanisme yang diselaraskan melalui Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Biobahan Api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Noraini memaklumkan pelaksanaan inisiatif itu dapat mengurangkan kebergantungan import diesel petroleum, memanjangkan stok bekalan sedia ada, menstabilkan harga CPO domestik dan mengurangkan pelepasan karbon sektor pengangkutan.
Katanya, langkah tersebut sejajar dengan hasrat Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Bagi peringkat penguatkuasaan, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) kini bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
“Inisiatif penerangan awam pula diselaraskan bersama Kementerian Komunikasi bagi memastikan maklumat yang tepat sampai kepada pengguna,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

